Dr Mahathir, Presiden Erdogan adakan perbincangan di Putrajaya
Bernama
Disember 18, 2019 20:00 MYT
Disember 18, 2019 20:00 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Perdana Putra, di sini, hari ini.
Perbincangan 45 minit itu antara kedua-dua pemimpin negara itu diadakan di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Selepas pertemuan itu, Dr Mahathir dan Erdogan turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen perjanjian antara kedua-dua kerajaan dan perniagaan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
Perjanjian tersebut, antara lain, merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang sains dan teknologi.
Malaysia diwakili Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin manakala Turki oleh Menteri Industri dan Teknologi, Mustafa Varank.
Pasa majlis tersebut, sejumlah 13 pertukaran dokumen perjanjian antara entiti perniagaan kedua-dua negara itu dalam bidang pertahanan turut berlangsung.
Antara lain ialah memorandum perjanjian (MoA) antara Sapura Secured Technologies Sdn Bhd dan Aselsan Electronic mengenai Domain Komunikasi Ketenteraan dan memorandum persefahaman (MoU) antara Havelsan Hava Electronic dan AMP Corporation Sdn Bhd mengenai Radar Pengawas Pantai.
Selain itu, pertukaran dokumen juga melibatkan MoU antara Tijan Galaxy Aerospace Consortium Sdn Bhd dan Baynar Makina mengenai kerjasama, rakan perkongsian, perkongsian ilmu dan pertukaran teknologi berhubung pesawat tanpa pemandu (UAV) dan perkhidmatan.
Presiden Turki itu tiba di negara ini pada tengah hari tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan ummah dan negara Islam.
Erdogan akan menyertai Dr Mahathir, selaku pengerusi sidang kemuncak itu dan beberapa pemimpin negara Islam pada sidang tersebut di ibu negara bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, antara lain, bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah yang menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.
Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.
-- BERNAMA
#KLSummit2019
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Presiden Turki
#Recep Tayyip Erdogan
#Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019
#Turki
#Yeo Bee Yin