Dr Mahathir perlu henti kelirukan rakyat libat isu 3R - Tiong
Bernama
September 5, 2023 09:40 MYT
September 5, 2023 09:40 MYT
JOHOR BAHRU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti mengelirukan orang ramai terutamanya melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata mana-mana pemimpin di negara ini seharusnya mencontohi sikap Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berdiam diri dan terus mendoakan kesejahteraan untuk negara ini.
"Saya minta Dr Mahathir belajar dengan Abdullah, apabila berundur diri, beliau terus diam. Sampai hari ini beliau diam dan tidak bising.
"Sebaliknya mendoakan untuk negara kita. Kenapa Dr Mahathir tidak boleh duduk diam?" katanya berucap pada program Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.
Sementara itu, Tiong yang juga ahli Parlimen Bintulu berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu menggunakan sentimen menghukum yang boleh menimbulkan salah faham kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Sekarang kita nampak dan dengar macam-macam cerita daripada PAS. PAS buat ibarat (hanya ada) satu bangsa, satu agama sahaja di Malaysia.
"Mungkin Muhyiddin terlupa Malaysia ada berbilang kaum dan agama, kenalah saling hormat-menghormati. Janganlah jadi batu api hanya kerana mahukan undi rakyat," katanya.
Pada masa yang sama, Tiong turut berharap masyarakat memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara.
Sabtu lepas, Muhyiddin semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi mereka yang mengundi Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai.
-- BERNAMA