Dr Mahathir penuhi jadual padat hari pertama kembali ke pejabat

Hafiz Marzukhi
Mei 14, 2018 10:49 MYT
Dr Mahathir bersalaman dengan Ali ketika tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. --fotoBERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan hari bekerja pertamanya sebagai Perdana Menteri hari ini dengan mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi bersama pegawai kanan perkhidmatan awam, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Ia merupakan mesyuarat pertama Perdana Menteri dengan pegawai kanan kerajaan, yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, yang menempatkan pejabat Dr Mahathir selaku presiden kehormat yayasan itu.
Mesyuarat berkaitan pelaksanaan 10 janji 100 hari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, semua ketua setiausaha dan ketua pengarah kementerian.
Beliau tiba pada jam 9.15am dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Ali sebelum memulakan mesyuarat.
Difahamkan, selepas mesyuarat pagi ini, Dr Mahathir akan bertemu pula dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau juga dijangka menerima lawatan daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada tengah hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua setiausaha kementerian bagi menjelaskan fungsi dan peranan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan.
Gabungan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun.
#Ali Hamsa #kerajaan Persekutuan #Mahathir Mohamad #mesyuarat #pilihan raya umum #PRU14 #Putrajaya
;