Dr Mahathir pemimpin sebenar dunia Islam - Imran Khan

Bernama
Februari 4, 2020 22:30 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Imran Khan melihat persekitaran Kompleks Seri Perdana pada jamuan makan tengahari bersempena lawatan kerja Perdana Menteri Pakistan itu di Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hari ini menyuarakan kekagumannya terhadap rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggapnya sebagai seorang pemimpin yang sebenar.
Imran Khan berkata Dr Mahathir adalah contoh seorang pemimpin yang berpendirian teguh, terutama untuk kebaikan Islam dan umat Islam.
"Sesungguhnya ada perbezaan di antara seseorang yang menjawat jawatan dan seorang pemimpin. Pemimpin sentiasa mempunyai sistem kepercayaan dan ideologi.
"Seorang pemimpin sentiasa mempunyai pendirian yang teguh, dan itu sebabnya kita amat menyayangi dan menghormati Perdana Menteri Dr Mahathir," katanya, merujuk yang kepada kelantangan Dr Mahathir bersuara mengenai India.
Imran Khan, yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Visi untuk Keamanan dan Keselamatan Serantau' di Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini hari ini, berkata demikian ketika ditanya oleh seorang hadirin mengenai langkah India menghentikan pembelian minyak sawit Malaysia, berikutan kritikan Dr Mahathir berhubung tindakan India di Kashmir dan undang-undang kerakyatannya yang baharu.
BACA: Imran Khan akan hadir KL Summit akan datang
Bekas bintang kriket itu berkata Dr Mahathir juga dilihat sebagai suri teladan dan negarawan di dalam dunia Islam yang mengubah nasib ramai.
"Kita telah melihat bagaimana Malaysia menjalani pembaharuan dan membangun di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Tetapi apa yang saya suka mengenai Malaysia ialah ia mempunyai masyarakat yang sangat beradab dan bertamadun.
"Saya dapati terdapat keharmonian antara agama dan kumpulan etnik di sini, yang saya fikir adalah ciri-ciri masyarakat bertamadun.
"Di era kegemilangan Islam dahulu, orang ramai dengan pelbagai agama hidup aman bersama. Terdapat toleransi dan penerimaan ...dan anda melihat di Malaysia orang ramai hidup dalam suasana harmoni, dan pada pendapat saya ia benar-benar sesuatu yang perlu dikagumi," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Imran Khan berkata 1.3 bilion umat Islam di dunia perlu menyuarakan pandangan mereka mengenai isu Kashmir, terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Pada pandangan saya, keadaan boleh menjadi lebih parah, jika anda tinjau sejarah, apabila ada orang yang mencetuskan api nasionalisme melampau dan menghalakan kebencian kepada komuniti lain, ia biasanya akan membawa kepada pertumpahan darah," katanya.
Perdana Menteri itu juga berkata Pakistan sentiasa bersedia untuk berdamai dengan sebuah negara India yang percaya kepada kemakmuran dan pembasmian kemiskinan di rantau berkenaan.
Beliau berkata antara perkara pertama yang dilakukannya selepas menjadi Perdana Menteri adalah menghubungi rakan sejawatannya dari India.
"Sebilangan besar penduduk miskin tinggal di kawasan tertentu India dan cara terbaik kita dapat mengurangkan kemiskinan di kawasan itu adalah jika kedua-dua negara memulakan hubungan yang baik.
"Tahap ketegangan ketika ini semakin berkurangan, dan sekiranya kita mengurangkan perbelanjaan untuk sektor pertahanan, suasana akan jadi lebih makmur," katanya, namun menyatakan bahawa Pakistan terus ditolak oleh negara jirannya itu.
Dalam sesi ceramah itu juga Imran Khan turut mengetengahkan visinya mengenai Pakistan, yang menurutnya diilhamkan dari kejayaan Nabi Muhammad SAW membangunkan Madinah sebagai negara Islam pertama dengan kebajikan rakyat dan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip utama.
Beliau berkata Pakistan telah memulakan usaha menjadi negara kebajikan, di mana buat pertama kali dalam sejarah negara, insurans kesihatan diberikan kepada segmen masyarakat yang paling lemah, yang memberi manfaat kepada enam juta keluarga.
Perdana Menteri itu turut berkata universiti-universiti di dunia Islam perlu melakukan penyelidikan terperinci mengenai kota Madinah sebagai resipi untuk membina sebuah negara yang berjaya.
-- BERNAMA
#Dr Mahathir Mohamad #dunia Islam #Imran Khan #pemimpin sebenar #Perdana Menteri #perdana menteri pakistan
;