Dr Mahathir mula masuki Pejabat Perdana Menteri
Bernama
Mei 23, 2018 09:36 MYT
Mei 23, 2018 09:36 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memasuki Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk memulakan tugas secara rasmi dari Perdana Putra di sini.
Dr Mahathir sebelum ini beroperasi di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, sejak kembali menerajui kembali tampuk pemerintahan negara setelah Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.
Beliau yang memakai sut hitam tiba pada kira-kira 8.25 pagi di lobi Perdana Putra dengan disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Dr Mahathir kemudian disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan diikuti bacaan doa sebelum memasuki pejabatnya.
Beliau juga menandatangani surat memulakan tugas.
Dr Mahathir akan mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama selepas ini.
Beliau kembali bertugas di Pejabat Perdana Menteri itu selepas 15 tahun. Beliau menjadi perdana menteri Malaysia keempat sejak 1981 sebelum meletak jawatan pada 2003 setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.
Dr Mahathir, 92 tahun, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 itu, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia.
-- BERNAMA
#kabinet
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#mesyuarat Kabinet
#Pakatan Harapan
#pejabat perdana menteri
#Perdana Menteri
#Perdana Putra
#pilihan raya umum
#PRU14
#Putrajaya
#Yayasan Kepimpinan Perdana