Dr Mahathir: Kerajaan yang baik boleh dibentuk jika terima demokrasi
Irwan Muhammad Zain
Disember 2, 2013 13:59 MYT
Disember 2, 2013 13:59 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan sebuah kerajaan yang baik boleh dibentuk jika semua pihak boleh menerima konsep demokrasi secara terbuka.
Dr Mahathir berkata demokrasi tidak sempurna dan ia memerlukan sikap toleransi yang tinggi dalam usaha untuk menerima kekalahan.
Katanya, dalam demokrasi, ia bukan hanya memikirkan kemenangan sebaliknya perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.
"Demokrasi ada kalah dan ada menang. Yang menang menerima kemenangan mereka manakala yang kalah juga perlu menerima kekalahan mereka bagi membolehkan pihak yang menang menjalankan tugas mereka.
"Anda boleh melihat negara ini yang mengamalkan 'demokrasi ala Malaysia', biarpun tidak sempurna tetapi demokrasi di sini tidak berlaku keganasan," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis makan tengah hari bersama delegasi forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013.
Dalam ucapan ringkasnya itu, Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan huru-hara dan berusaha supaya perjalanan sistem demokasri terganggu.
Selain itu, Dr Mahathir turut menasihatkan negara-negara membangun agar bersatu dan segera mencari jalan penyelesaian jika berlaku perbezaan pendapat.
Forum yang bertema 'Politik Kesederhanaan Ke Arah Keamanan dan Kestabilan' disertai 121 delegasi membabitkan 31 parti politik dari seluruh dunia.
Antara yang hadir termasuklah tokoh politik dunia termasuk pemimpin Hamas, Khalid Meshaal selain calon presiden Indonesia dari parti Golkar, Aburizal Bakrie.