Dr Mahathir, isteri sembah takziah atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah
Kenyataan Media
Mei 22, 2019 15:23 MYT
Mei 22, 2019 15:23 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merakamkan sembah takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Almarhum ayahandanya.
Dr Mahathir mendoakan roh Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, yang mangkat pagi tadi dicucuri rahmat.
“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang- orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Dr Mahathir akan menziarahi jenazah Almarhum Sultan Pahang ke-V di Istana Negara jam 4 petang ini.
Sultan Ahmad Shah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.