Dr Mahathir harap kerajaan tidak gugur cadangan PPSMI
Madiha Abdullah
Jun 19, 2020 17:58 MYT
Jun 19, 2020 17:58 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan tidak akan menggugurkan cadangan peralihan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Cadangan tersebut dikemukakan Dr Mahathir ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan sementara, sebelum ini.
PPSMI dilihat Dr Mahathir sebagai medium sangat penting bagi memudahkan proses pemahaman ilmu Sains dan Matematik yang bersifat dinamik dan berteraskan penyelidikan.
"Oleh kerana hasil penyelidikan ini tidak dibuat oleh kita, dibuat kebanyakannya oleh orang Barat.
"Bagaimana ia dapat menjadi begitu ditentukan oleh ahli penyelidik di Barat dan kebanyakan daripada tulisan mereka adalah dalam Bahasa Inggeris, maka kalau kita faham Bahasa Inggeris agak mudah kita akses ilmu yang baharu," tulis Dr Mahathir dalam entri terbaharu di blognya.
Tambah beliau, penterjemahan hasil penyelidikan berkaitan memerlukan bukan sahaja pakar dalam bahasa Melayu dan Inggeris tetapi arif dalam bidang tersebut.
"Tidak ramai orang kita yang mempunyai kebolehan seperti ini dan mereka pula tidak ingin menjadi penterjemah sepanjang hayat mereka. Mereka boleh bekerja sekejap-sekejap sahaja.
"Jadi ini bermakna bahawa kita terputus daripada hasil siasatan yang sedang berlaku sepanjang masa. Dengan itu kita akan ketinggalan dari segi ilmu dan penggunaan ilmu-ilmu ini untuk pelbagai urusan kita.
"Kita semua boleh berkata dalam Bahasa Melayu iaitu; campuran antara dua atom hidrogen dan satu atom oksigen, kita akan dapat air. Itu kita boleh.
"Tetapi apabila kita sampai kepada tahap bercakap berkenaan dengan digitalisation, dengan artificial intelligence, dengan macam-macam lagi perkara dan kemudahan baru kita sukar untuk faham ini kalau kita tidak berbahasa Inggeris," katanya lagi.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga berpendapat, bahasa Inggeris perlu dipelajari sehingga tahap kefasihan menyamai bahasa Melayu kerana ia akan memberi kelebihan dalam mengejar ilmu Sains dan Matematik.
"Mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah satu perkara yang penting supaya kita dapat kejar perkembangan yang terbaru ilmu ini. Kita boleh baca kertas-kertas ilmiah yang disediakan oleh para penyelidik, dan kita tidak akan tertinggal di belakang kerana kita tidak dapat kejar ilmu baharu yang datang dalam Bahasa Inggeris.
"Ya, memang Bahasa Inggeris bukan bahasa kita. Bahasa kita ialah Bahasa Melayu, tetapi kita tahu Inggeris adalah satu bahasa yang amat penting sehingga kita mengadakan kursus-kursus untuk menguasai Bahasa Inggeris," ujarnya.
#bahasa Inggeris
#kerajaan
#Matematik
#pendidikan
#pengajaran dan pembelajaran
#PPSMI
#Sains
#Tun Dr Mahathir Mohamad