Dr Mahathir dijadualkan hadir Pemukiman Pemimpin ASEAN pertama di Bali

Bernama
Oktober 10, 2018 16:29 MYT
Dr Mahathir akan ditemani Dr Siti Hasmah di Pemukiman Pemimpin ASEAN di Bali nanti. - BERNAMA/Fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pemukiman Pemimpin ASEAN yang pertama di Bali, Indonesia, esok.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pemukiman itu akan menyediakan platform bagi perbincangan dan keterlibatan lanjut pemimpin-pemimpin ASEAN dengan pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, presiden Bank Dunia dan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Perhimpunan ini bertujuan meningkatkan kerjasama di antara ASEAN dan organisasi terbabit khususnya dalam isu pembangunan mampan," katanya.
Pemukiman itu bertemakan 'Mencapai Matlamat Mampan dan Mengatasi Jurang Pembangunan melalui Kerjasama Serantau dan Global."
Dr Mahathir dijangka mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari ASEAN di luar pemukiman itu.
Perdana Menteri yang akan ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, akan diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar. -- Bernama
#ASEAN #Bali #Indonesia #Mahathir Mohamad
;