KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa undang-undang kini digunakan untuk 'mengancam rakyat'.

Dr Mahathir berkata, ancaman dibuat kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan yang dibuat oleh kerajaan menerusi mahkamah.

Menerusi hantaran terbaharu di media sosialnya, Dr Mahathir mendakwa tuntutan yang dibuat terhadap mereka yang didakwa di mahkamah sukar dipatuhi.

Katanya, proses tersebut memerlukan penyelidikan besar-besaran terhadap semua transaksi dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

"Kebanyakan orang tidak menyimpan rekod aktiviti mereka dalam tempoh masa yang panjang itu.


"Tetapi, kegagalan untuk melaporkan sebarang tindakan boleh ditafsirkan sebagai sengaja menahan maklumat.

"Ia boleh mengakibatkan tindakan undang-undang yang mahal dan berpanjangan. Ia boleh mengakibatkan penjara. Itulah ancamannya," katanya.

Mahathir, yang kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di kerusi Parlimen Langkawi mendakwa apabila undang-undang digunakan untuk mengancam rakyat, ia menjadi zalim.