Dr Mahathir beransur pulih di IJN

Astro Awani
Ogos 12, 2016 16:58 MYT
Dr Mahathir kini sedang berada di wad biasa dan berdasarkan nasihat pasukan perubatan, lawatan adalah terhad kepada ahli keluarga sahaja.
Tun Dr Mahathir Mohamad, 91, yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan di dadanya, kini beransur pulih.
Jabatan Komunikasi Korporat IJN dalam satu kenyataan berkata, bekas perdana menteri itu terus memberi respon yang baik kepada rawatan yang diberi.
“Selain daripada fisioterapi, Dr Mahathir juga menjalani latihan fizikal rutin dan para doktor berpuas hati dengan perkembangannya.
“Dr Mahathir kini sedang berada di wad biasa dan berdasarkan nasihat pasukan perubatan, lawatan adalah terhad kepada ahli keluarga sahaja,” kata kenyataan tersebut.
Kali terakhir beliau dimasukkan ke IJN adalah pada 16 November 2013 namun dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu setelah mendapat rawatan.
Pada 1989, Dr Mahathir mengalami serangan jantung dan menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN.
Beliau menjalani pembedahan pintasan yang kedua pada 2007.
#fisioterapi #IJN #Institut Jantung Negara #jangkitan dada #Tun Dr Mahathir Mohamad
;