Dr Lavanya Sivaji positif COVID-19, pentas akhir Miss World ditangguh
Syafik Shukri Jalil
Disember 18, 2021 09:19 MYT
Disember 18, 2021 09:19 MYT
KUALA LUMPUR: Wakil Malaysia ke pertandingan Miss World 2021 disahkan positif COVID-19.
Dr Lavanya Sivaji dan beberapa peserta dari negara lain dijangkiti COVID-19 sehari sebelum acara final dijadualkan berlangsung di San Juan, Puerto Rico.
Perkara itu disahkan Pengarah Kebangsaan Miss World Malaysia Dr Sean Wong menerusi satu hantaran di laman Instagram pada Khamis.
“Saya mewakili organisasi Miss World Malaysia mengesahkan bahawa Dr Lavanya Sivaji dikesan positif COVID-19 selepas menjalani ujian RT-PCR.
“Dia bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pemeriksaan oleh pasukan perubatan di sana.
“Untuk itu, Dr Lavanya tidak akan beraksi di pentas final namun penilaian terhadapnya dilakukan berdasarkan prestasi keseluruhannya sepanjang berada di San Juan bermula 23 Nov lalu,” katanya.
Bagaimanapun, tuah menyebelahi Dr Lavanya dan semua peserta yang disahkan positif COVID-19 apabila Miss World Organisation mengumumkan penangguhan acara final.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan itu akan dianjurkan semula di Puerto Rico Coliseum Jose Miguel Agrelot dalam tempoh 90 hari akan datang.
Keputusan dibuat selepas mendapat konsultasi dari pakar kesihatan dan Jabatan Kesihatan Puerto Rico.
“Buat masa ini, langkah pencegahan dan keselamatan telah ditingkatkan bagi memastikan keselamatan semua peserta dan kru produksi yang terlibat.
“Langkah drastik yang diambil adalah memastikan semua yang disahkan positif COVID-19 menjalani kuarantin kendiri di bilik penginapan masing-masing.
“Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas disahkan sembuh dan selesai menjalani proses kuarantin di sini,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Miss World 2020 dibatalkan susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia dan kali terakhir diadakan pada 14 Dis 2019 di London.
Acara itu menyaksikan gadis berkulit hitam dari Jamaica, Toni-Ann Singh, 25 tahun, meraih gelaran tersebut selepas berjaya menewaskan 111 peserta yang bertanding ketika itu.