"Dr Kunaseegaran penyebab kehilangan Kevin Morais"- Tertuduh ketujuh
Bernama
Ogos 10, 2018 19:36 MYT
Ogos 10, 2018 19:36 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Kol. Dr R. Kunaseegaran adalah penyebab “kehilangan” Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.
Tertuduh ketujuh kes pembunuhan Kevin Morais, S. Ravi Chandaran, 47, berkata dia dimaklumkan perkara itu oleh bekas tertuduh kedua yang dikenalinya sebagai Jay atau nama sebenar G. Gunasekaran, 49 sebelum dibawa menemui doktor tentera tersebut pada 9 Sept 2015.
“Jay ada beritahu saya, kehilangan Kevin Morais adalah kerana doktor. Doktor adalah penyebab kehilangan Kevin Morais,” katanya ketika pemeriksaan utama Peguam V. Rajehgopal pada prosiding bela diri hari ke-19, di sini.
Saksi pembelaan keenam itu berkata pada tarikh berkenaan, kira-kira lima hari selepas kehilangan Kevin Morais pada 4 Sept, Jay telah membawanya menemui Dr Kunaseegaran di sebuah kuil di Bukit Raja, Klang.
Bagaimanapun, katanya sebaik tiba dan sepanjang berada di kuil, Jay tidak keluar dari kereta dan hanya dia keluar menemui Dr Kunaseegaran di dalam kuil berkenaan.
Ravi Chandaran berkata sebelum memulakan perbualan, Dr Kunaseegaran memintanya bersumpah agar dia tidak menceritakan perkara yang akan diberitahu kepada orang lain.
Katanya selepas dia bersumpah, Dr Kunaseegaran menceritakan banyak perkara yang berkaitan dengan Kevin Morais.
Tanpa menceritakan lanjut kepada mahkamah perkara yang diberitahu oleh doktor tersebut berkaitan Kevin Morais, tertuduh berkata dia kemudian memberitahu Dr Kunaseegaran bahawa dia mahu membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Saya beritahu saya tiada cara lain, saya ingin buat laporan polis, beliau (Dr Kunaseegaran) beritahu jika saya buat laporan polis, saya lah yang akan ‘sangkut’. Selepas itu beliau beritahu ‘masalah’ ini boleh diatasi,” katanya.
Ravi Chandaran berkata ketika ditanya tentang nasibnya jika ditangkap berhubung kejadian itu, Dr Kunaseegaran menjawab dia akan menanggung kos guaman dan apa juga kos yang terlibat.
Ravi Chandaran berkata semua perbualan tersebut berlaku di dalam kuil dan pada ketika itu dia berasa gementar.
Kepada soalan Rajehgopal mengenai sebab tertuduh berasa gementar, Ravi Chandaran menjawab: “Kerana pada masa itu yang saya tahu Jay suruh saya padam nombor casis (kereta Kevin Morais), selepas itu saya mendapati Dr Kunaseegaran terlibat.“
R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath, S. Nimalan, Ravi Chandaran dan Dr R. Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25 dan Ravi Chandaran diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 17 Ogos.
#Anthony Kevin Morais
#polis
#bunuh
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#Dr Kunaseegaran
#mati
#Timbalan Pendakwa Raya
#S Ravi Chandaran