Dr Haron Din meninggal dunia

Hafiz Marzukhi
September 16, 2016 02:45 MYT
Datuk Dr Haron Din, 76, meninggal dunia di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.05 waktu Malaysia pagi ini.
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din telah meninggal dunia di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.05 waktu Malaysia pagi ini.
Perkembangan terbaru itu disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menerusi laman Facebook beliau sebentar tadi.
Ketika dihubungi, Nasrudin memberitahu Astro AWANI: "Kami terima berita bahawa Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University Amerika Syarikat.
"Difahamkan beliau meninggal pada jam 10.05 pagi waktu Malaysia. Kami di PAS Pusat mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Guru."
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu menyifatkan pemergian Dr Haron satu kehilangan besar.
"Ia satu kehilangan besar bukan sahaja buat PAS, tetapi seluruh umat Islam di Malaysia," kata Nasrudin.
Sebelum ini, Dr Haron, 76, juga pengasas pusat perubatan Islam Darussyifa' Malaysia, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut akibat komplikasi jantung.
BACA: Haron Din di ICU hospital di San Francisco
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan takziah menerusi media sosial.
"Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat saya hormati. Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi.
"Meskipun landasan politik kami berbeza, kami sama-sama inginkan perkara yang serupa, Malaysia negara Islam yang terus makmur dan sejahtera," tulis Najib di Facebook beliau.

Saya rapat dgn beliau, kami inginkan Msia negara Islam makmur.Moga roh Allahyarham Haron Din dikurnia husnul khotimah &Al-Jannah. Al-Fatihah

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) September 16, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: Najib ziarah Haron Din di IJN
Allahyarham Dr Haron dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada tahun lalu selepas pemergian Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 dan pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti seperti Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am sebelum ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima orang anak.
#Haron Din #meninggal dunia #Nasruddin Hassan