Dr Fauziah anggap misi berjaya meski tidak sampai ke Gaza
Astro Awani
Oktober 7, 2016 20:51 MYT
Oktober 7, 2016 20:51 MYT
Wakil tunggal Malaysia dalam misi 'Women's Boat to Gaza' Dr Fauziah Mohd Hasan menganggap misinya berjaya mencapai matlamat meskipun tidak sampai ke Gaza.
Katanya, insiden yang berlaku terhadap kapal Zaytouna-Oliva telah membuka mata masyarakat dunia untuk terus berusaha membebaskan Palestin daripada kepungan rejim Zionis.
"Ini adalah salah satu langkah untuk kita membebaskan kepungan rejim Zionis terhadap Palestin.
"Malah, misi ini juga memberikan harapan kepada penduduk di Semenanjung Gaza bahawa satu hari nanti mereka akan memperoleh kebebasan," katanya.
Tambah Dr Fauziah, usahanya tidak akan terhenti setakat ini malah satu perjumpaan bersama semua 13 aktivis wanita yang ditawan tentera Israel akan diadakan di Stockholm, Sweden pada Mac tahun depan.
Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Bangkok menaiki penerbangan Tiger Air TG417 kira kira 7.47 malam.
Sebelum itu, Dr Fauziah menempuh penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Bangkok, dan ketika tiba di lapangan terbang di ibu kota Thailand itu, Dr Fauziah disambut suaminya, Prof Dr Alauddin Mohd Ali.
Disambut penyokong
Sementara itu di KLIA, beratus-ratus penyokong, yang terdiri daripada kaum keluarga dan saudara-mara, wakil penganjur misi, ahli kumpulan organisasi bukan kerajaan (NGO), penyokong perjuangan Palestin dan khalayak umum lainnya setia menantikan kelibat Dr Fauziah di balai ketibaan.
Sewaktu Dr Fauziah muncul, khalayak semakin rancak dan kuat melaungkan kata-kata 'Free Palestine!' (Bebaskan Palestin!) dan 'Palestine will be free!' (Palestin akan bebas!).
Orang ramai juga membawa sepanduk dan kain rentang yang tertera kata-kata semangat, selain turut mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang.
Kapal Zaytouna-Oliva yang membawa Dr Fauziah dan 12 anggota misi lain dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod pada Rabu.
Perjalanan mereka bermula pada 14 September dari pelabuhan Vell di Barcelona dan berhenti di Ajaccio, Perancis selepas pusingan pertama sebelum belayar ke Messina, Itali untuk pusingan kedua.
Astro AWANI menyiarkan ketibaan Dr Fauziah menerusi Facebook LIVE -https://www.facebook.com/astroawani/