Dr Fadi pakar elektronik, bukan pakar senjata

Madiha Abdullah
April 22, 2018 15:05 MYT
Pembunuhan Dr Fadi Albatsh di Gombak menjelang waktu subuh pada Sabtu nyata menggemparkan bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara Islam seluruh dunia. - Reuters
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Prof Madya Dr.Hafidzi Mohd Noor, menggesa anggota masyarakat agar tidak berterusan menyebarkan maklumat tidak tepat tentang warga Palestin, Dr Fadi AlBatsh, yang maut ditembak pada Sabtu.
Antara laporan yang digembar-gemburkan di media sosial adalah kononnya Allahyarham seorang pakar pembuat roket, yang sama sekali tidak benar.
Perkongsian maklumat yang tidak tepat itu bukan sahaja akan membahayakan warga Palestin lain yang berada di negara ini, tetapi juga akan turut membabitkan rakyat Malaysia yang aktif dalam kegiatan keamanan untuk Palestin.
"Dr Fadi bukan pakar pembuat roket seperti yang didakwa. Allahyarham seorang jurutera elektrik dan kepakarannya adalah dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan kuasa elektronik.
"Seperti warga Palestin lain, Allahyarham hanya mahu membawa pulang segala pengetahuan dan pengalamannya untuk membangunkan Palestin satu hari. Itu sahaja.
"Allahyarham hanya manusia biasa yang dikurniakan ketinggian intelektual," kata Dr Hafidzi ketika ditemui dalam satu sidang media khas MyCare berhubung kematian Dr Fadi di Seri Kembangan, hari ini.
BACA: Bunuh imam: Dua suspek dipercayai ada kaitan organisasi perisikan - TPM Zahid
BACA: Siapa Dr Fadi AlBatsh?
Dr Hafidzi juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Dr Fadi merupakan anggota Hamas.
"Setakat ini tiada pengesahan tentang hal itu, jadi saya anggap ia hanya tohmahan semata-mata," tambahnya.
Dalam pada itu, penasihat MyCare, Dr Fauziah Hasan, memaklumkan agensi itu akan melakukan apa yang termampu untuk membantu balu Allahyarham dan tiga anak mereka yang berusia dalam lingkungan 5 bulan hingga enam tahun.
"Saya berkesempatan bertemu isterinya, Inaz, petang semalam. Dia tidak berhenti menangis dan dua anaknya juga terpaksa dijaga oleh jiran kerana dia masih bersedih.
"Kami di Rose2Rose, salah satu agensi di bawah MyCare, berjanji akan membantu keluarganya melalui apa sahaja cara. Kami juga akan melancarkan tabung untuk keluarga mereka dan saya harap ia akan mendapat sokongan rakyat Malaysia.
"Malah jika keluarga Dr Fadi mahu mengebumikannya di Gaza sekalipun, kami akan menghulurkan bantuan dalam memastikan Allahyarham mendapat penghormatan yang sepatutnya," katanya.
Sementara itu, MyCare mengutuk pembunuhan kejam Dr Fadi, namun dalam masa yang sama meluahkan keyakinan terhadap kemampuan pihak berkuasa negara ini dalam melakukan siasatan, sekali gus membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Dr Fadi, yang merupakan pensyarah di UniKL, maut ditembak ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan kediamannya di Gombak, pada Sabtu.
#Dr Fauziah Hasan #dr hafidzi mohd noor #Fadi AlBatsh #Gaza #Hamas #jurutera elektrik #keluarga #Malaysia #maut #media sosial #My Care #pakar #Palestin #rakyat Malaysia #siasatan
;