Dr Dzulkefly arah tempat segera doktor pelatih ke hospital
Sinar Harian
Mei 16, 2024 18:30 MYT
Mei 16, 2024 18:30 MYT
SHAH ALAM: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sudah mengarahkan supaya doktor pelatih segera ditempatkan kembali ke hospital-hospital daerah yang memerlukan susulan isu kekurangan doktor.
Dr Dzulkefly berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan untuk berbuat demikian.
"Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan para petugas saban hari dan minggu. Namun ditegaskan, saya telah mengarahkan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan supaya segera menempatkan kembali doktor pelatih ke hospital-hospital daerah yang memerlukan.
"Langkah-langkah tambah baik jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan," katanya dalam satu hantaran di platform X pada Khamis.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mengulas mengenai gambar tular maklumat di sebuah papan kenyataan yang memaklumkan tentang kekurangan doktor yang didakwa berlaku di sebuah hospital di Kulim, Kedah.
Menerusi kenyataan itu, pihak hospital turut meminta maaf kerana masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan mungkin mengambil masa lebih lama iaitu sehingga lima jam.
"Doktor kami kerja sampai naik pengsan. Lapan (doktor) sakit masih kerja. Ada yang sudah letak jawatan, pergi swasta.
"Kami ingin berkhidmat untuk rakyat tetapi kami juga manusia, boleh penat dan sakit. Harap tuan-tuan dan puan-puan faham. Minta maaf," kata kenyataan tersebut.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#isu kekurangan doktor
#Dzulkefly Ahmad
#doktor pelatih segera ditempatkan
#hospital-hospital daerah