Dr Chin perjelas punca pemberian vaksin di Sibu ditangguh
Azizah Alwi
April 20, 2021 20:03 MYT
April 20, 2021 20:03 MYT
KUCHING: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing mengesahkan Proses Vaksinasi di Sibu mengikut jadual yang ditetapkan walaupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu masih belum menerima bekalan vaksin.
Tambah Dr Chin isu utamanya adalah kekeliruan daripada pihak klinik yang sudah menetapkan tarikh temu janji kepada penerima vaksin.
“Mengikut perancangan awal pemberian vaksin melibatkan 800 petugas barisan hadapan dan kita sudah ada menyiapkan senarai nama.
“Minggu lepas kami mendapat maklumat terdapat masalah kepada lot release (pelepasan lot) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga vaksin tidak dapat dibekalkan ke bahagian Sibu.” katanya dalam sesi sidang media harian COVID-19 di Dewan Undangan Negeri Lama Kuching.
Justeru, Dr Chin menjelasan notifikasi penerimaan vaksin fasa pertama untuk petugas barisan hadapan akan diumumkan melalui telefon bimbit dan bukan menggunakan aplikasi MySejahtera.