Dr Azmi dibawa ke Mahkamah Tinggi, sebutan kes menghasut tangguh ke 7 Nov

Wan Syamsul Amly
Oktober 1, 2014 02:27 MYT
Dr Azmi dibawa ke Mahkamah Tinggi, sebutan kes menghasut tangguh ke 7 Nov
Kes Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azmi Sharom yang mencabar pertuduhannya di atas Akta Hasutan 1948 akan dibawa ke Mahkamah Tinggi‎.
Sementara ‎kesnya sebelum ini yang disabitkan dengan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ditangguhkan ke 7 November depan.
Hakim, Zanol Rashid Hussain ‎menetapkan keputusan berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dr. Azmi didakwa kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.
Dr. Azmi yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Universiti Malaya (PKAUM) dikatakan melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos.
Dalam pada itu, dia juga didakwa dengan satu lagi dakwaan kerana menerbitkan kenyataan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) (c), akta sama.
Kedua-dua kesalahan boleh menyebabkannya dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali.
Sementara itu, peguam Dr. Azmi, Gobind Singh Deo menjelaskan, ini adalah kali pertama Mahkamah Tinggi akan mengkaji perlembagaan Akta Hasutan 1948 atas alasan undang-undang itu tidak digubal di Parlimen.
Gobind menjelaskan, ia juga tidak seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.
"Hakim bersetuju dengan permohonan kami, kes ini dihantar ke Mahkamah Tinggi supaya Mahkamah Tinggi boleh menentukan soalan perlembagaan yang ditimbulkan sekali gus membuat keputusan," katanya.
Pada 17 September, Dr. Azmi memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen untuk mengkaji semula aspek perlembagaan berkaitan kesahihan Akta Hasutan 1948.
Dr. Azmi turut memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung atau dibatalkan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menjelaskan di dalam Twitternya, Dr. Azmi tidak seharusnya didakwa dengan pertuduhan menghasut.
Idris memberitahu, dalam negara menuju ke arah kesederhanaan, kritikan membina atau pertentangan pendapat harus dibenarkan selain melihat kebebasan akademik perlu dalam proses menimba ilmu.
#akta hasutan #azmi sharom