Dr Adham Baba terajui Kementerian Kesihatan

Bernama
Mac 9, 2020 20:14 MYT
Dr Adham, 57, memperoleh ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya pada tahun 1987 dan bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan pada 1988 hingga 1990. - Bernama
Selepas dua minggu Kementerian Kesihatan 'bergerak' tanpa seorang menteri ekoran kemelut politik yang berlaku pada 23 Feb lalu, kementerian itu kini diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba di bawah Kabinet Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya dan anggota Kabinet berkenaan akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing esok.
Dr Adham, 57, memperoleh ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya pada tahun 1987 dan bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan pada 1988 hingga 1990.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan dalam sektor swasta pada 1990 hingga sekarang dengan memiliki rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd.
Sebelum ini, beliau juga bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2004 hingga 2008 dan Pegawai Khas (Pendidikan) di Kementerian Belia dan Sukan (2000-2004).
Malah, Dr Adham turut memegang beberapa jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan antaranya Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2013 hingga 2018 dan Pengerusi UniKL Medical Services Sdn Bhd., pada 2010 hingga 2015.
Penglibatan Ketua Penerangan UMNO Johor itu dalam politik pula bermula pada 1991 dengan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Senai, ketika itu.
Kemudian, beliau mengorak langkah bertanding bagi kerusi Parlimen Tenggara dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 dan berjaya meraih kemenangan.
Seterusnya, beliau diberikan mandat oleh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja dan terpilih menjadi wakil rakyat selama dua penggal apabila berjaya meraih majoriti undi pada PRU12 dan PRU13.
Berikut adalah biografi berkenaan Dr Adham:
Nama : Datuk Seri Dr Adham Baba
Tarikh Lahir : 6 Oktober 1962
Tempat Lahir : Sungai Dulang Rengit, Batu Pahat, Johor
Isteri : Datin Taibah Tabrani (meninggal dunia pada 22 April 2007)
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), Universiti Malaya
Politik dan kerjaya dalam sektor kerajaan:
o 2018 hingga kini - Ahli Parlimen Tenggara (BN-UMNO)
o 2008 hingga 2018 - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja
o 2004 hingga 2008 - Ahli Parlimen Tenggara dan Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi
o 2000 hingga 2004 - Pegawai Khas (Pendidikan) Menteri Belia dan Sukan
o 1988 hingga 1990 - Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia
Kerjaya dalam sektor swasta atau syarikat berkaitan kerajaan :
o 1990 hingga kini - Doktor Perubatan (rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd)
o 2013 hingga 2018 - Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Ahli Lembaga Pengarah
Yayasan Pelajaran Negeri Johor
o 2010 hingga 2018 - Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL dan Pengerusi Lembaga Majlis UniKL
o 2010 hingga 2015 - Pengerusi UniKL Medical Sdn Bhd dan Pengerusi UniKL Resources Sdn Bhd
Penglibatan Aktiviti Sosial:
Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Bukit Besar sejak 2000 hingga kini.
Penasihat Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) (2000-kini)
Penasihat Gagasan Aman Kampus Nasional (2011-kini).
-- BERNAMA
#Adham Baba #Datuk Seri Dr Adham Baba #kabinet #Kementerian Kesihatan #Menteri Kesihatan #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri
;