DPKM 2.0: Kerajaan tingkat kesejahteraan pemakanan masyarakat menerusi tiga matlamat - PM
Bernama
Julai 27, 2021 16:25 MYT
Julai 27, 2021 16:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan beriltizam untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan masyarakat menerusi tiga matlamat terkandung dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 (DPKM) yang dilancarkan hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiga matlamat itu meliputi usaha untuk meningkatkan status pemakanan, mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan serta memperkukuhkan sekuriti makanan dan pemakanan.
Selain itu, beliau berkata 13 strategi bersifat menyeluruh telah dibentuk bagi mencapai matlamat dasar berkenaan.
"Seiring dengan dasar yang digubal, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan pada masa yang sama turut menyemak semula Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 yang menyokong strategi-strategi dalam DPKM.
"Selain itu, isu-isu pemakanan utama negara seperti sekuriti makanan dan pemakanan juga telah diintegrasikan dalam Dasar Agromakanan (DAN) 2.0," katanya ketika melancarkan DPKM 2.0 secara maya hari ini yang turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Perdana menteri berkata negara kini sedang berdepan masalah beban berganda malnutrisi dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat umur serta kekurangan pemakanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun susulan pembangunan pesat sosioekonomi termasuk perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan.
Beliau berkata perkara itu memerlukan perhatian serius kerana ia merupakan satu krisis kesihatan sejagat terutamanya di saat pandemik COVID-19 sedang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Selain daripada beban penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada pemakanan seperti diabetes dan darah tinggi, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan pada 2030, Malaysia akan mencapai status "negara tua" dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas adalah 15.3 peratus.
"Dengan kenaikan angka-angka yang membimbangkan dan ramalan peningkatan beban penyakit ini, pencegahan dan pengawalan masalah beban berganda malnutrisi merupakan satu cabaran besar kepada penjagaan kesihatan negara," katanya.
Muhyiddin berkata usaha memerangi dan menamatkan masalah malnutrisi memerlukan satu dasar pemakanan yang mampan melibatkan kerajaan, swasta, industri dan rakyat, selari dengan konsep "Whole of government and whole of society".
Bagi memerangi masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, beliau berkata satu jawatankuasa bersama melibatkan pelbagai agensi pihak berkepentingan berkaitan akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
"Saya ingin menekankan bahawa DPKM 2.0 ini adalah dasar kita bersama, kerana kesejahteraan pemakanan adalah tanggungjawab kita bersama. Saya menyeru agar semua pihak dapat membawa agenda pemakanan ke hadapan dan mengintegrasikan komponen pemakanan ke dalam dasar-dasar kerajaan dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan pemakanan terutama semasa bencana diberi perhatian serius kerajaan menerusi Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan beliau.
Muhyiddin dalam pelancaran DPKM 2.0 yang bertemakan "Kesejahteraan Pemakanan Tanggungjawab Bersama" berharap agar dasar itu menjadi rujukan utama dan agenda pemakanan dapat diintegrasikan dalam penggubalan dasar dan pembangunan pelan tindakan dalam negara.
Perdana menteri turut mendoakan agar negara terus makmur serta menzahirkan penghargaan kepada warga kerja Kementerian Kesihatan yang komited memastikan perkhidmatan pemakanan dan kesihatan dapat terus disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat dalam keadaan negara masih berada dalam fasa pemulihan menamatkan COVID-19.
-- BERNAMA