DOSM seru kerjasama pengusaha sertai Banci Pertanian 2024
Faida Rahim
Julai 14, 2024 07:45 MYT
Julai 14, 2024 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berharap pelaksanaan banci pertanian 2024 terus mendapat komitmen penyertaan daripada pengusaha pertanian sepanjang tempoh ia dijalankan dari 7 Julai hingga 10 Oktober 2024.
Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, usaha ini penting untuk menghasilkan data pertanian yang komprehensif dan menjadi penanda aras baharu bagi mewujudkan pangkalan data pertanian negara.
"Kita tahu ada peningkatan permintaan dalam pertanian, hasil pertanian itu memerlukan peningkatan pengeluaran.
"Di sini isunya bagaimana kita mahu menghasilkan supaya kedudukan bekalan atau sekuriti makanan kita berada dalam keadaan baik, kita tidak mengalami kekurangan, dan sebagainya.
"Kita juga ingin lihat kebergantungan makanan yang diimport dari luar negara. Dan bagaimana data banci petani ini nanti akan memperkasakan dasar atau program yang dilaksanakan di pelbagai agensi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada sesi Banci Pertanian 2024 di Kebun Komuniti Laman Baiduri di sini semalam.
Jelas beliau, liputan banci merangkumi empat subsektor iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan & Akuakultur dan Perhutanan & Pembalakan.
Banci pada kali ini merangkumi pendekatan seluruh negara dan melibatkan jaringan kolaborasi strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
"Dengan 45 minit masa diberi kepada pembanci untuk mengisi borang, akhirnya dia akan kembali kepada pengusaha juga, apabila kita akan menentukan apakah penambahbaikan yang patut dilakukan dan bagaimana data ini nanti akan membawa sektor pertanian ke tahap lebih tinggi," tambah Mohd Uzir.
Pada hari sama, pihak DOSM turut menjalankan Banci Pertanian 2024 di Kampung Ulu Sepri, Kuala Klawang, Jelebu di kebun milik Ramli Muharam.
Antara tanaman diusahakan di tanah berkeluasan enam ekar miliknya adalah pokok durian, rambutan, manggis, dokong dan petai.
#Jabatan Perangkaan Malaysia
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#Mohd Uzir Mahidin
#Banci Pertanian 2024