DOSM pelawa semua pihak, jabatan berkaitan, kongsi data dalam OpenDOSM Nextgen
Bernama
Januari 13, 2023 04:40 MYT
Januari 13, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mempelawa semua pihak dan jabatan yang berkaitan untuk berkongsi sebarang data yang berkaitan dan boleh dikongsikan kepada umum di dalam platform OpenDOSM Nextgen yang dilancarkan baru-baru ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perkongsian ini adalah untuk menggerakkan negara kepada masyarakat digital dan bermaklumat pada masa akan datang.
"Ia (data-data) boleh dicadangkan (kepada DOSM) kerana sistem ini boleh menerima sebanyak mungkin data-data set untuk dimasukkan dan disusun secara teratur mengikut tema-tema yang mudah untuk difahami," beliau berkata demikian dalam racangan Malaysia Petang ini "Manfaat OpenDOSM Nextgen" terbitan Bernama TV semalam.
Dilancarkan pada Khamis, OpenDOSM NextGen adalah wajah baharu capaian data terbuka berkaitan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh DOSM dan agensi kerajaan yang lain dengan penambahan ciri dan fungsi baharu sedia ada OpenDOSM.
Selain daripada akses yang mudah dan pantas kepada data terbuka, OpenDOSM NextGen menawarkan antaramuka yang moden yang direka untuk semua lapisan pengguna termasuk pelajar, wartawan dan saintis data.
Platform ini mengandungi data yang disusun dalam katalog data dan dipersembahkan dalam bentuk papan pemuka (dashboard) untuk memudahkan pengguna memahami data yang tersedia dalamplatform ini.
Dari segi skop dataset inisiatif ini, sebanyak lapan tema merangkumi tenaga buruh, penunjuk ekonomi, harga pengguna, perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, akaun negara, harga pengeluar dan kesihatan (COVID-19).
Skop dataset OpenDOSM akan terus dikemaskini dari semasa ke semasa merangkumi pelbagai data sedia ada di DOSM dan juga pelbagai data terbuka daripada semua agensi dan kementerian.
Mohd Uzir berkata OpenDOSM NextGen adalah usaha pemodenan dan inovasi berterusan DOSM ke arah penyampaian perkhidmatan statistik yang berkesan, menyasarkan pemerkasaan penglibatan rakyat dalam budaya inovasi melalui data terbuka.
Katanya, DOSM juga sedang membangunkan sebuah platform yang membolehkan pengguna OpenDOSM Nextgen memberikan sebarang maklum balas atau penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk OpenDOSM Nextgen ini pada masa akan datang.
"Ada sebuah emel khas yang akan kita buat bagi tujuan tersebut dalam usaha untuk memperkasakan OpenDOSM ini (di masa akan datang)," katanya.
Beliau berkata data terbuka membolehkan terjemahan data dan cerapan maklumat dijalankan oleh pelbagai pihak dan tidak terhad kepada penyedia data, sebaliknya, sesiapa sahaja yang mempunyai akseskepada data dapat menjalankan analisis dan mengeluarkan statistik berkaitan.
"Akses kepada data terbuka membolehkan penganalisaan dan pencerapan maklumat baharu dikeluarkan oleh pelbagai pihak bergantung kepada tujuan dan metodologi yang digunakan. Ini seterusnya dapat mengembangkan lagi budaya inovasi di kalangan rakyat.
"Data terbuka bukan sahaja membolehkan rakyat membuat keputusan yang lebih tepat tetapi yang lebih penting adalah memperkasakan rakyat untuk menyumbang kepada penggubalan dasar yang baik untuk manfaat rakyat secara menyeluruh," katanya.
-- BERNAMA