DOSM lancar MyAgeing Dashboard

Bernama
September 6, 2024 18:03 MYT
MyAgeing Dashboard memaparkan tiga segmen utama iaitu penuaan penduduk, kependudukan dan jangka hayat. - MyAgeing Dashboard
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melancarkan MyAgeing Dashboard yang membentangkan visualisasi data interaktif dan maklumat berkaitan statistik penduduk, penuaan dan jangka hayat di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah pentadbiran dari tahun 1970 hingga kini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata MyAgeing Dashboard memaparkan tiga segmen utama iaitu penuaan penduduk, kependudukan dan jangka hayat yang mengandungi statistik mengikut jantina, kumpulan etnik utama dan perangkaan penting seperti kadar kesuburan dan purata umur perkahwinan.
"Dashboard ini merangkumi data siri masa dan indikator dari tahun 1970 sehingga terkini yang dikeluarkan oleh DOSM. Statistik ini boleh digunakan sebagai input utama dalam pembentukan, pelaksanaan dan pemantauan dasar negara terutamanya yang berkaitan penuaan penduduk.
"Saya berharap pembentangan ini akan memberikan kita semua perspektif yang lebih luas dan mendalam mengenai isu-isu penuaan di Malaysia, serta bagaimana persediaan negara dan dunia untuk berdepan dengan isu penuaaan," katanya pada majlis pelancaran MyAgeing Dashboard dan Pembentangan Trend dan Analisis Penuaan Penduduk di Malaysia yang diadakan secara dalam talian hari ini.
MyAgeing Dashboard adalah hasil integrasi pelbagai sumber data primer yang diterbitkan oleh DOSM seperti Anggaran Penduduk Semasa, Data Banci Penduduk, Perangkaan Penting dan Jangka Hayat serta data pentadbiran daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan seperti data fasiliti kesihatan dan perkhidmatan sosial untuk warga emas.
Mohd Uzir berkata dashboard itu turut memuatkan artikel dan berita terkini mengenai isu penuaan dalam dan luar negara.
"Maklumat dalam dashboard ini akan dikemas kini berdasarkan ketersediaaan data dari semasa ke semasa. MyAgeing Dashboard boleh dicapai melalui https://www.dosm.gov.my/MyAgeing," katanya.
Ketika membentangkan trend dan analisis penuaan penduduk di negara ini, Mohd Uzir berkata komposisi penduduk berumur 60 tahun dan lebih pada tahun ini meningkat kepada 11.6 peratus berbanding 5.4 peratus pada 1970.
"Pada tahun 1970, hanya 5.5 peratus penduduk berumur 60 tahun dan lebih manakala 44.5 peratus penduduk berumur 14 tahun ke bawah. Bagaimanapun, pada 2024 penduduk berumur 14 tahun ke bawah telah menurun kepada 22.2 peratus manakala penduduk berumur 60 tahun dan lebih, meningkat kepada 11.6 peratus.
"Komposisi ini diunjurkan meningkat kepada 17.3 peratus pada 2040. Pada tahun 2039, penduduk berumur 60 tahun dan lebih, dijangka lebih ramai iaitu 6.17 juta berbanding bilangan penduduk berumur 14 tahun dan ke bawah (6.11 juta)," katanya.
Beliau berkata tiga negeri tertinggi penduduk berumur 60 tahun dan lebih pada tahun 2024 adalah Perak (14.9 peratus), Sarawak (13.4 peratus) dan Kedah (13.3 peratus), berbanding tahun 1970 dengan masing-masing merekodkan 5.8 peratus, 4.9 peratus dan 5.5 peratus.
Mohd Uzir berkata punca penuaan penduduk adalah disebabkan kadar kelahiran rendah dan kadar kesuburan jumlah (TFR) menurun serta peningkatan jangka hayat.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #MyAgeing Dashboard #Mohd Uzir Mahidin #DoSM #warga emas
;