DOSM iktiraf 19 saintis data

Bernama
Mac 28, 2022 06:30 MYT
Mohd Uzir berkata NBDAC akan berfungsi sebagai pusat data nasional yang merapatkan jurang data merentasi kedua-dua sektor awam dan swasta menggunakan analitik dan teknologi termaju. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengiktiraf 19 saintis data dengan kemahiran penting yang diperlukan seperti statistik, penyusunan data, analisis lanjutan, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
"Ini telah membantu DOSM dalam menyediakan input bagi penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat, berpacukan data dan membangunkan kepakaran analisis data yang lebih mendalam di peringkat Jabatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata seramai 10 orang saintis data telah tamat pengajian di bawah program kolaborasi Institut DOSM-SAS hari ini dan sebelum ini sembilan saintis data telah menjalani program yang sama pada 2018.
Program SAS-Certified Data Scientists adalah inisiatif berterusan DOSM bagi pembangunan kapasiti saintis data dengan penggunaan aplikasi sains data sepenuhnya dalam menghasilkan statistik rasmi.
Antara projek berkaitan analitik data raya yang sedang dijalankan DOSM termasuk Statistics Big Data Analytics (StatsBDA), Statistics Data Warehouse (StatsDW), Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS), Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dan Labour Market Information and Analytics Platform (LMIAP), katanya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata pihaknya sedang mempercepatkan inisiatif penubuhan Pusat Analitik Data Raya (NBDAC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Beliau berkata NBDAC akan berfungsi sebagai pusat data nasional yang merapatkan jurang data merentasi kedua-dua sektor awam dan swasta menggunakan analitik dan teknologi termaju.
-- BERNAMA
#saintis data #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #kemahiran
;