DOSM bakal tubuh Pusat Analitik Data Raya, rapatkan jurang data sektor awam dan swasta

Astro Awani
September 19, 2024 10:30 MYT
Menurut Mohd Uzir, dalam konteks terkini, AI bukanlah suatu ancaman malahan dilihat sebagai satu peluang yang sangat bermanfaat untuk pembangunan negara. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR : Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini dalam rangka untuk menubuhkan Pusat Analitik Data Raya (NBDAC) yang akan menjadi Pusat Data Nasional yang merapatkan jurang data merentasi dua sektor iaitu sektor awam dan juga sektor swasta.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, ia seiring dengan tema Persidangan Statistik Malaysia ke-11 iaitu “Data dan Kecerdasan Buatan Memperkasa Masa Depan”.
Jelasnya, dalam konteks terkini, kecerdasan buatan (AI) bukan suatu ancaman, sebaliknya, harus dilihat sebagai satu peluang yang sangat bermanfaat untuk pembangunan negara.
Bahkan, AI, jelasnya, boleh digunakan sebagai satu platform dalam menghasilkan data yang lebih relevan dan bertepatan masa.
"Untuk makluman semua, sehingga ke hari ini, seramai 45 orang pegawai DOSM telah diiktiraf sebagai saintis data yang berkemahiran tinggi dalam bidang statistik, penyusunan data, analisis lanjutan, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
"Evolusi data dan teknologi yang berkembang dengan pesat menyebabkan keperluan dalam pembangunan kapasiti terutamanya dalam bidang sains data sangat tinggi.
"Tambahan pula, untuk memastikan perundangan statistik sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa, termasuk teknologi dan metodologi statistik yang terkini, jabatan sedang dalam proses penggubalan semula Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Penggubalan akta ini bertujuan untuk memperkasakan landskap statistik negara dan peranan DOSM," katanya ketika berucap pada Persidangan Statistik Malaysia ke-11 (Mystats) di ibu negara pada Khamis.
Persidangan Mystats kali ini menjadi medium diskusi dan perkongsian maklumat kajian-kajian berkaitan AI dengan 24 kertas yang akan dibentangkan oleh pengkaji daripada pelbagai universiti dan agensi dibawah lapan tema kecil yang berkaitan.
Pelaksanaan pada kali ini dianggarkan akan mendapat penyertaan seramai 1,000 orang dengan mod pelaksanaan secara hybrid di mana 400 peserta secara fizikal manakala 600 peserta lagi secara atas talian.
Dalam pada itu, Uzir memaklumkan bahawa DOSM ketika ini sedang melaksanakan Banci Pertanian dan juga Survei Pendapatan dan Perbelanjaan (HIES).
#Jabatan Perangkaan Malaysia #kecerdasan buatan #Mohd Uzir Mahidin #pusat data
;