Dos penggalak Sinovac aktifkan imuniti selular terhadap varian Omicron
Bernama
Januari 1, 2022 20:15 MYT
Januari 1, 2022 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan awal kajian yang dijalankan Universiti Katolik Pontifikal di Chile (UC) menunjukkan dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac boleh mengaktifkan imuniti selular terhadap varian Omicron, ke atas subjek yang menerima dua dos vaksin primer yang sama sebelum ini.
Objektif kajian yang diketuai Pengarah Institut Milenium Imunologi dan Imunoterapi Prof Dr. Alexis M. Kalergis itu, adalah untuk menilai sama ada imuniti yang diaktifkan oleh dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac dapat mengenal pasti varian baharu, Omicron.
Dr Alexis dalam kenyataan yang dikeluarkan Pharmaniaga hari ini berkata mereka yang disuntik dengan dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac, mempunyai sel T yang diaktifkan menentang varian Omicron dengan cara yang sama seperti strain asal.
"Ini menunjukkan bahawa vaksin itu mengandungi antigen yang terdapat dalam varian Omicron. Hasil kajian menunjukkan bahawa apabila limfosit T bergabung dengan varian Omicron, mampu menghasilkan interferon gamma yang berkeupayaan membunuh virus berbahaya itu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Akademik dan Saintifik UC bagi Kajian Saintifik-Klinik CoronaVac di Chile Dr Susan Bueno berkata kemungkinan besar pengecaman sebahagian varian ini, telah menyumbang kepada keberkesanan vaksin dalam kalangan populasi, walaupun terdapat varian-varian yang tersebar di Chile.
"Data populasi menunjukkan bahawa, vaksin COVID-19 Sinovac telah berfungsi dengan baik setakat ini untuk mengawal varian yang baru muncul," katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan penyelidik di Chile juga sedang menjalankan kajian tindak balas antibodi terhadap varian baharu ini dalam kerjasama antara Universiti Katolik, Universiti Chile, Institut Imunologi La Jolla di California (AS) dan Sinovac di China.
Kenyataan itu menyatakan Varian COVID-19 Omicron (B.1.1.529) baharu yang boleh membawa maut itu telah dikenal pasti di Afrika Selatan, Eropah dan juga di Asia.
"Ia menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia memandangkan keupayaan bilangan mutasi dan penyebaran yang lebih pantas, malah mengelak antibodi yang terhasil daripada jangkitan virus atau vaksinasi sebelumnya, menurut kenyataan itu lagi.
Suntikan penggalak vaksin COVID-19 Sinovac telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) dan boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan dan swasta yang terpilih. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi askme@pharmaniaga.com.
-- BERNAMA
#dos penggalak
#varian omicron
#COVID-19
#Kajian
#imuniti selular
#Prof Dr Alexis M Kalergis
#Coronavac