Dos penggalak: ProtectHealth sasar lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta

Hasimi Muhamad
Oktober 22, 2021 11:18 MYT
Menurut Dr Anas Alam Faizli, ProtectHealth berjaya menyumbang sebanyak 48 peratus vaksinasi atau lebih 23 juta dos dalam PICK. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menyasarkan lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta (PPS) bagi meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak ke seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta akan terus komited membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempercepatkan dan memperluaskan capaian vaksinasi pemberian dos tersebut.
Sehingga hari ini, lebih 3,699 PPS telah berdaftar dengan syarikat itu dan 2,352 beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PICK Remaja.
"Memandangkan pelaksanaan pemberian dos penggalak akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth, ProtectHealth kini dalam usaha meningkatkan jumlah ini dan amat menggalakkan semua PPS yang berminat untuk menyertai PICK sebagai PPV untuk berdaftar di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my).
"Bagi PPS yang telahpun menyertai taklimat, dan latihan serta bersedia boleh memaklumkan kepada ProtectHealth melalui Vaksin Control System (VCS) yang boleh dicapai di laman web ProtectHealth yang telah dibangunkan bagi memulakan operasi sebagai PPV," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Jelas Dr Anas, ProtectHealth menyambut baik pelaksanaan pemberian dos penggalak yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.
Sehingga 20 Oktober lalu, ProtectHealth, katanya, berjaya menyumbang sebanyak 48 peratus vaksinasi atau lebih 23 juta dos dalam PICK.
Terdahulu, Khairy berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Oktober lepas menggunakan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech, melibatkan seramai 47,728 penerima setakat 19 Oktober.
Sementara semalam, Khairy memaklumkan KKM akan melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu dan akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnat secara heterologous.
Jelas beliau, sebagai permulaan, pelaksanaan pemberian dos penggalak tersebut bagi yang layak akan dimulakan hari ini (22 Oktober) secara berfasa di seluruh negara dan akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth.
ProtectHealth adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah KKM.
#Kementerian Kesihatan #ProtectHealth #dos penggalak #Khairy Jamaluddin
;