Dos penggalak: 'Peratusan rendah, Melayu percaya Illuminati' - Khairy

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2022 19:27 MYT
Khairy berkata KKM tidak mahu melihat isu tersebut dari sudut perkauman - Foto/fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui keengganan masyarakat Melayu untuk menerima dos penggalak dan memberikan vaksin kepada anak mereka dalam Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) agak tinggi.
Justeru, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian sedang berusaha melaksanakan sesi libat urus dan menjawab isu-isu tular dalam kalangan masyarakat terutama Melayu berhubung pemberian vaksinasi.
“Ini merupakan satu cabaran yang besar, tetapi kita cuba (atasi) cabaran besar ini sebab Melayu percaya kepada Illuminati,” katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, begitupun KKM tidak mahu melihat isu tersebut dari sudut perkauman.
Bagaimanapun, ujar beliau peratusan penerimaan dos penggalak begitu ketara dalam kalangan sesetengah kaum di negara ini.
“Satu kaum, penerimaan dos penggalak sangat tinggi, dan kaum lain penerima dos penggalak agak rendah.
“Maka, saya rasa kalau kita tidak mengambil kira maklumat tersebut, kita tidak akan dapat melakukan intervensi yang berkesan,” ujar beliau lagi.
Dalam masa yang sama, Khairy sekali lagi menegaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan sekatan perjalanan.
Sebaliknya, tambah Khairy kerajaan hanya akan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
#Khairy Jamaluddin #Dos penggalak Melayu rendah #PICKids #berita Malaysia
;