Dos penggalak mungkin diberikan di Sarawak seawal Oktober

Fadilah Sulaiman
September 10, 2021 13:44 MYT
atuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, berdasarkan pemerhatian pakar, pemberian dos penggalak ini diperlukan seawal Oktober 2021.
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin dos ketiga atau dos penggalak seawal Oktober ini kepada golongan yang masih belum mempunyai imunisasi atau imunisasi lemah akibat penurunan keberkesanan vaksin selepas beberapa bulan disuntik.
Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, berdasarkan pemerhatian pakar, pemberian dos penggalak ini diperlukan seawal Oktober 2021.
Menurutnya, usaha itu bagi memperkukuh imuniti dalam masyarakat susulan kemunculan varian Delta, yang seterusnya meningkatkan kes positif COVID-19 yang tinggi di negeri itu yang mana nilai empat angka dilaporkan setiap hari sejak 26 Ogos lalu.
“(Sarawak) mungkin akan menjadi yang pertama untuk memulakan dos ketiga bagi mereka yang masih tidak mempunyai imuniti atau dos penggalak bagi mereka yang keberkesanan imunitinya berkurang.
“Berdasarkan pemerhatian profesional, saya menganggarkan sebelum ini bahawa paling awal apabila kita memerlukan dos tambahan mungkin pada bulan Oktober,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya pada Khamis.
Susulan itu, perbincangan mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak itu dijangka menjadi keutamaan apabila Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijadualkan membuat lawatan kerja ke Sarawak minggu depan.
“Tidak sabar untuk menyambutnya kembali ke Sarawak minggu depan (untuk membincangkan isu ini),” tambah Dr Sim.
Dalam pada itu, Khairy melalui sebuah sidang media pada Khamis berkata, beliau telah meminta jawatankuasa untuk menyediakan laporan pada minggu depan mengenai situasi yang berlaku di Sarawak yang mana ia mungkin akan berlaku di negeri-negeri lain, jika disebabkan oleh penurunan keberkesanan vaksin.
Dr sim turut menjelaskan kadar vaksinasi yang tinggi di negeri itu dapat dilihat dengan penurunan kes kematian serta simptom yang teruk dalam kalangan pesakit COVID-19.
#dos penggalak #vaksin #Dr Sim Kui Hian #Sarawak
;