Dos penggalak hanya strategi susulan, jangan lupa pelitup muka dan penjarakan sosial - KJ

Firdaus Azil
November 28, 2021 21:39 MYT
Khairy berkata, biarpun kerajaan sangat menitikberatkan pengambilan dos penggalak, ia hanyalah satu daripada pelbagai senjata untuk mengekang COVID-19. - Gambar fail/KKM
KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu terus berwaspada dengan penularan COVID-19, termasuk mengamalkan langkah penjagaan seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan penjarakan sosial.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, biarpun kerajaan sangat menitikberatkan pengambilan dos penggalak, ia hanyalah satu daripada pelbagai senjata untuk mengekang penularan wabak itu.
Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, dengan sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga, ia bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling.
"Saya risau bila kita sebut dos penggalak, dos penggalak, dos penggalak, rakyat lupa kepada strategi lain. Lawan COVID-19 ada senjata vaksin, ada juga senjata langkah kesihatan awam – pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya, jangan lupa ini.
“Ini sangat penting. Ada negara dos penggalak jalan, tapi kes masih meningkat sebab tak pakai pelitup muka lagi. Perdana Menteri United Kingdom Boris Johson semalam mengumum, wajib untuk pakai semula face mask di ruang dalam indoor setting. Saya tak faham kenapa tidak diwajibkan dari dulu. Kerana kita tahu ini adalah perisai yang sangat penting.
"Dan kita juga perlu terus amalkan TRIIS – test, report, isolate, inform, seek. Ini sangat penting dalam keadaan tertentu, kit saringan boleh dibeli dengan harga antara RM5 hingga RM6 sekarang. Lakukan ujian kendiri, sebagai langkah untuk kita jaga diri kita dan orang yang kita sayang,” katanya.
Khairy berkata demikian sewaktu ditemubual Editor Astro AWANI, Ehsan Yahya, dalam Agenda AWANI – Dos Penggalak sebagai Perisai – yang disiarkan di saluran 501 Awani, malam Ahad.
Turut menjadi tetamu rancangan ialah Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, NIH KKM, Dr Kalairasu M Peariasamy, yang akan memperincikan keperluan dos penggalak dari sudut sains dan data.
BACA: KKM tidak tolak kemungkinan jadikan dos penggalak sebagai pelengkap vaksinasi - Khairy
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau gusar tentang sikap masyarakat yang seolah-olah mula alpa, dan leka dengan keberkesanan program sebelum ini dalam menurunkan jangkitan COVID-19.
Beliau berkata, sikap itu secara tidak langsung menyebabkan jumlah mereka yang tidak hadir untuk temujanji dos penggalak, semakin meningkat.
“Keengganan penerima vaksin ini, kami lihat, dulu primary series, kita beri dos pertama dan kedua, jangkitan menurun, dan semua nak vaksin sebab masa tu ada gelombang Delta. Ada ketakutan di situ.
“Antara bulan Jun, Julai, dan Ogos, kita berhadapan dengan kemuncak (sekitar 20,000 kes sehari), semua takut dengan Delta, takut dengan angka semakin meningkat. Semua minta vaksin.
“Tapi sekarang kita mungkin jadi mangsa kepada kejayaan kita sendiri. Oleh kerana kita dah berjaya menurunkan kes, ramai dah mula alpa, mereka kata tak payah lah. Kes dah turun, hospital tak sesak. Tapi saya tegaskan jangan ambil mudah perkara ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai dos penggalak, Khairy berkata, pelaksanaan strategi dos penggalak tidak bermaksud pemberian vaksin sebelum ini adalah gagal seperti dakwaan pihak tertentu.
Beliau berkata, Malaysia melihat dan mengambil kira pengalaman negara yang telah melaksanakan strategi dos penggalak lebih awal, dan ia dilihat antara langkah yang berjaya, memandangkan pemberian dua dos pertama vaksin menunjukkan penurunan keberkesanannya.
"Ada puak antivaksin berkata, dos penggalak ini maksudnya vaksin gagal. That’s not true (Itu tidak benar). Kalau tidak ada vaksin kita masih lagi berhadapan dengan 20,000 - 30,000 kes harian, dan kematian sangat-sangat tinggi.
“Kita tak tahu dari segi tindak balas imunisasi menurun, dan ia ada ada dua – satu antibody humoral, satu cellular – memori dalam sel kita. Kita tak tahu jangka masa panjang, tahap respons dua-dua ini daripada pemberian vaksin,” tambahnya.
Selain itu, Khairy berkata, masih awal untuk menentukan pemberian dos secara tahunan, namun tanpa pelaksanaan dos penggalak ketika ini, berkemungkinan besar negara akan berhadapan dengan gelombang COVID-19 baharu.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #dos penggalak #kesihatan awam #Omicron #vaksin #pelitup muka #penjarakan sosial #KKM
;