Dos penggalak COVID-19: Daftar nama di satu PPV swasta sahaja

Bernama
November 19, 2021 17:18 MYT
ProtectHealth memaklumkan pendaftaran untuk senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawahnya adalah percuma. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Individu yang layak menerima suntikan dos penggalak COVID-19 disaran untuk mendaftar nama dalam senarai menunggu di satu pusat pemberian vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.
ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), syarikat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pendaftaran untuk senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawahnya adalah percuma dan hanya vaksin Corminaty (Pfizer-BioNTech) diberikan di PPV yang disenaraikan pada masa ini.
"Selain secara walk-in, pendaftaran nama sebagai senarai menunggu di PPV juga boleh dilakukan melalui telefon dan e-mel mengikut senarai PPV yang tersedia menerusi laman web ProtectHealth di pautan www.protecthealth.com.my, bermula Isnin depan (22 Nov). Senarai PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
"Pendekatan ini akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama selain dapat membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum," menurut ProtectHealth menerusi kenyataan hari ini.
Individu yang telah berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau 'no show' oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin menerusi MySejahtera.
Pendaftaran senarai menunggu ini dilaksanakan bagi individu yang belum menerima janji temu dan layak pemberian dos penggalak antaranya petugas barisan hadapan, individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi dan keperluan untuk ke luar negara.
Selain itu, individu (termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun) yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19 dan individu yang terlepas janji temu vaksin juga layak mendaftar untuk senarai menunggu ini.
-- BERNAMA
#dos penggalak #janji temu #ppv swasta #ProtectHealth
;