Dos ketiga vaksin COVID-19 perlu dikaji dengan teliti - Pakar kesihatan awam

Rahimah Abdullah
September 24, 2021 18:27 MYT
Pemberian suntikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 perlu dikaji dengan teliti kerana tiada maklumat yang jelas negara memerlukannya pada masa sekarang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemberian suntikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 perlu dikaji dengan teliti kerana tiada maklumat yang jelas negara memerlukannya pada masa sekarang.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, pada ketika ini, Malaysia perlu menumpukan sepenuhnya kepada mereka yang belum divaksinasi.
Dr Syed Mohamed Aljunid berkata, negara yang melaksanakan kaedah berkenaan hanya menumpukan pemberian dos penggalak kepada mereka yang berisiko tinggi.
"Pemberian dos ketiga perlu diteliti sebab kita tiada maklumat khusus sama ada kita memerlukan dos ketiga dengan cepat sekarang.
"Pertama, bekalan vaksin mungkin tidak cukup. Kedua, maklumat sama ada memperkukuhkannya dengan mengawal pandemik. Kalau ada maklumat jelas boleh diteruskan. Kalau ada negara yang lakukan dos ketiga, mereka mungkin tumpu mereka risiko tinggi. Itu pun maklumat tak kuat untuk menyokongnya. Jadi kita perlu beri tumpuan kepada mereka yang belum mendapat vaksinasi," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Dalam pada itu, liputan vaksinasi yang lebih tinggi juga perlu diutamakan di Sarawak berbanding penumpuan kepada dos penggalak.
Keperluan penduduk di negeri itu perlu dilihat secara kritikal dan suntikan dos penggalak bukan keutamaan pada ketika ini.
Dalam pada itu, Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan langkah menangani pandemik COVID-19.
"Pertama nilai R-naught itu merupakan satu indikator yang baik. Kalau R-naught itu tinggi, maka sukar untuk kita capai. Keduanya, masyarakat yang tidak mendapatkan vaksin. Misalnya kita mencapai liputan 80 peratus, dan 20 peratus lagi tidak mencapai liputan. 20 peratus ini harus mencapai dengan secara sekata populasi.
"Namun, kalau mereka berada dalam satu perkampungan yang ramai yang tidak ambil vaksin sebab faktor tertentu, maka jangkitan akan berlaku dalam kelompok ini dan tidak akan ada imuniti kelompok. Imuniti kelompok ialah mereka yang tidak mendapat jangkitan ini dilindungi oleh liputan vaksin yang tinggi oleh masyarakat seterusnya,"katanya lagi.
#dos ketiga #dos penggalak #vaksinasi #Malaysia
;