'Dong Zong rasis, semua dia bantah' - Tun Mahathir
Abdul Hadi Che Awang
Ogos 12, 2019 18:45 MYT
Ogos 12, 2019 18:45 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai satu pertubuhan yang rasis.
Tegasnya, sifat rasis tersebut jelas terbukti apabila persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.
Menurut beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan khat di sekolah-sekolah vernekular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan kerajaan terdahulu pada tahun 2012.
"Dong Zong ini rasis, (dulu) kita buat sekolah satu kampus, Sekolah Wawasan, sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan dalam satu kampus, dia tak mahu kononnya anak dia akan bercampur dengan orang Melayu jadi dia tak suka, semua dia bantah, tak pernah bersetuju dengan apa pun," katanya kepada pemberita, di sini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Dong Zong mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan tulisan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.
Sebelum itu, beliau ditemui media ketika hadir dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Daging Korban peringkat DUN Ayer Hangat di Masjid Al-Hana, Padang Matsirat pada Isnin.
#Dong Zong
#Dong Zong rasis
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina
#Sekolah Wawasan
#tulisan jawi
#tulisan khat