Dompok ucap terima kasih kepada Najib dilantik sebagai duta ke Vatican City
Bernama
Oktober 27, 2015 23:42 MYT
Oktober 27, 2015 23:42 MYT
Bekas menteri persekutuan Tan Sri Bernard Dompok hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keputusan kerajaan melantik beliau sebagai duta tetap pertama ke Vatican City serta duta ke Malta dan Albania.
Dompok yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau.
"Saya teringat tahun-tahun awal apabila cadangan mengadakan hubungan diplomatik dengan Vatican ini dibangkitkan pertama kali semasa Tun Dr Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri. Ia dibincangkan semasa lawatan beliau (Dr Mahathir) ke Vatican bertemu Paus John Paul II.
"Perbincangan turut diadakan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Delegasi Vatican telah terbang ke Malaysia dari Bangkok untuk bertemu Perdana Menteri dan hubungan diplomatik telah dibincang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Dompok menjadi keistimewaan bagi dirinya turut hadir dalam semua perbincangan mengenai menjalinkan hubungan diplomatik serta perbincangan susulan dengan Menteri Luar tetapi pada masa itu ia tidak dianggap perkara serius.
"Hanya semasa Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Anifah Aman sebagai Menteri Luar perkara ini diberi perhatian serius dan dipersetujui kabinet.
"Semasa Perdana Menteri mengunjungi Paus Benedict di kediaman musim panas Castel Gandolfo, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vatican telah menjadi rasmi," jelas beliau.
Dompok turut melahirkan rasa rendah diri kerana diberi penghormatan sebagai duta tetap Malaysia pertama di bandar penganut Kristian Gereja Katolik serta duta ke Malta dan Alabnia.
Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet persekutuan.