Dompok disenaraikan duta Malaysia ke Vatican City
Bernama
Oktober 27, 2015 08:00 MYT
Oktober 27, 2015 08:00 MYT
Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok disenaraikan sebagai bakal duta Malaysia ke Vatican City, Malta dan Albania.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata selain Dompok, bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ghulam Jelani Khanizaman juga dinamakan sebagai bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara Brunei Darussalam manakala Datuk Adeline Leong dilantik sebagai Trade Attase ke Taiwan.
"(Pelantikan mereka) Dalam proses. Mungkin akan mengambil masa beberapa bulan. Itu adalah proses biasa," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas berita yang tersebar di media sosial mengenai pelantikan ketiga calon berkenaan.
Katanya, pemilihan Dompok bagi jawatan berkenaan adalah tepat berdasarkan latar belakang dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai aspek.
Mengenai jawatankuasa khas untuk mengkaji kelayakan Sabah untuk diberi 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan dari negeri itu, Anifah berkata anggota jawatankuasa itu akan dimuktamadkan pada bulan Disember ini.
Jawatankuasa itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hasil pertemuan beliau (Anifah) dan beberapa pemimpin dari Sabah pada Julai lalu.
Anifah berkata anggota jawatankuasa berkenaan dijangka berfungsi pada Januari tahun depan.