'Dompet kita tidaklah sebesar Kanada' - Khairy
Astro Awani
Disember 23, 2020 19:38 MYT
Disember 23, 2020 19:38 MYT
PUTRAJAYA: Kedudukan kewangan Malaysia tidak sebesar negara maju seperti Kanada yang mampu membeli vaksin COVID-19 lima kali ganda populasi negara itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, setiap rundingan dibuat secara berhemah.
"Dompet kita tidaklah sebesar itu," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan sedar ada pihak yang mempersoalkan penerimaan vaksin tersebut pada suku pertama tahun hadapan susulan Singapura menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin buatan Pfizer-BioNTech pada Isnin lalu.
"Kita tidak terlalu cepat tetapi bukan perlahan sangat," katanya.
Menurut Khairy, Singapura telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal lebih awal berbanding Malaysia.
"Kemampuan Singapura adalah berbeza dengan kita. Indonesia pula mendapat vaksin Sinovac kerana negara itu dipilih sebagai lokasi ujian klinikal fasa ketiga," katanya.
Khairy berkata, kerajaan mengambil masa untuk mendapatkan terma perjanjian yang sebaik mungkin.
#Khairy Jamaluddin
#Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi
#MOSTI
#Sinovac
#Pfizer-BioNTech
#Malaysia
#vaksin
#COVID-19
#Asia
#terma perjanjian
#ujian klinikal fasa ketiga