Dokumen reformasi ekonomi 'Naratif Ekonomi Madani' dilancar Ogos - PM Anwar
Astro Awani
Jun 12, 2023 14:07 MYT
Jun 12, 2023 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melancarkan dokumen reformasi ekonomi dikenali sebagai Naratif Ekonomi Madani menjelang Ogos depan sebagai panduan jelas kepada hala tuju ekonomi negara bagi memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sementara dokumen tersebut diperkenalkan, kerajaan akan meneruskan dulu dasar sedia ada.
"Kita ada penganalisis ekonomi yang kita cerakin secara ringkas dalam Buku Madani tetapi Kementerian Ekonomi, kementerian terlibat dan sektor swasta, bila ada proses libat urus ini, sudah tentu akan menentukan beberapa dasar termasuk penggunaan tenaga, keutamaan pelaburan dan ekonomi hijau.
"Jadi kita akan tumpukan bidang-bidang yang dirasaikan perlu. Naratif (Ekonomi Madani) akan membuat kerangka besar dan umum disusuli beberapa tiang nadi ekonomi yang akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menambah reformasi-reformasi ekonomi khusus dijangka diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan datang dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa termasuk di ekonomi dunia.
Jelas beliau, reformasi tersebut antaranya bagi mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang mampan dan menambah baik liputan keselamatan sosial.
"Melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja untuk meningkatkan gaji pekerja secara berkala, ini selari dengan langkah yang kita ambil sebelum ini iaitu soal penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu).
"Padu sekurang-kurangnya mengumpulkan semua data yang kadang-kadang berbeza tetapi di bawah penguatkuasaan jabatan dan kementerian yang begitu banyak," tambahnya,
Dalam masa sama, Anwar berkata MTEN turut membincangkan mengenai Hala Tuju Peralihan Tenaga Fasa I.