Dokumen MM2H palsu: Pegawai imigresen diperintah bela diri
Yasmin Natasha
Mac 7, 2025 14:25 MYT
Mac 7, 2025 14:25 MYT
Shamsudin (tiga dari kiri) didakwa menyediakan pas MM2H palsu bagi tujuan pemerdagangan manusia. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pegawai imigresen untuk membela diri atas pertuduhan pemerdagangan manusia kerana menyediakan pas palsu Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah terhadap Shamsudin Ishak, 51.
Beliau berkata, pertuduhan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) tidak mempunyai sebarang kecacatan.
“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, mahkamah telah membuat penilaian maksimum dan mendapati pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen kesalahan ini di bawah Seksyen 26E Akta tersebut.
“Oleh itu, satu kes prima facie telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap tertuduh. Selaras dengan Seksyen 180(3) Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dengan ini diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan tersebut,” katanya ketika prosiding.
Shamsudin didakwa menyediakan pas MM2H palsu bagi tujuan pemerdagangan manusia terhadap Li XingQiang, seorang warganegara Vanuatu, di pejabat MM2H Jabatan Imigresen di Putrajaya pada Jun 2022.
Seksyen 26E Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda tidak kurang daripada RM15,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim memberi tiga pilihan kepada Shamsudin, yang kini digantung tugas sementara, untuk membela diri, dan dia memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari bermula 8 Mei bagi mendengar pembelaan.
Pada tahun 2023, pihak pendakwaan telah memulakan kes mereka dengan seramai 14 saksi untuk memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman, Nadia Mohd Izhar, dan Christopher Enteri Mawan, manakala peguam T. Harpal Singh mewakili tertuduh.