Dokumen ASEAN 2025 gariskan laluan ASEAN bagi dekad akan datang

Bernama
November 21, 2015 18:10 MYT
Barisan pemimpin negara-negara ASEAN yang melakar pelan tindakan demi mencapai matlamat dan aspirasi bersama di rantau ini. - Foto Bernama
Dokumen 'ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan' yang akan ditandatangani pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Ahad akan menggariskan laluan bagi pembinaan Komuniti ASEAN bagi 10 tahun akan datang.
Menurut seorang pegawai kanan ASEAN, dokumen itu merupakan pelan tindakan berwawasan yang menggariskan matlamat dan aspirasi ASEAN untuk merealisasikan hasrat bagi penyatuan, integrasi dan kesepaduan lebih jitu sebagai satu komuniti.
"ASEAN sedang berusaha menuju menjadi satu Komuniti yang 'bersatu dari segi politik, integrasi lebih padu dari segi ekonomi, dan lebih bertanggungjawab dari segi sosial'.
"Dokumen ASEAN 2025 ialah hasil perancangan dan perbincangan mendalam selama setahun, dan mencerminkan keazaman Negara Anggota untuk melangkah ke hadapan bagi perubahan untuk fasa akan datang ASEAN," kata pegawai itu.
Pegawai itu seterusnya berkata, fokus bagi Komuniti ASEAN untuk 10 tahun akan datang, ialah:
- Lebih penekanan terhadap rakyat ASEAN dan kesejahteraan mereka
- Meningkatkan kesedaran tentang ASEAN dan visinya untuk menjadi Komuniti yang lebih bersatu dari segi politik, integrasi lebih padu dari segi ekonomi dan lebih bertanggungjawab dari segi sosial.
- Melibatkan semua warga negara ASEAN menerusi platform efektif dan inovatif untuk menggalakkan komitmen dan pengenalpastian dasar-dasar ASEAN dan kepentingan serantau
- Memastikan kebebasan asas, hak asasi manusia dan kehidupan lebih baik bagi semua warga ASEAN
- Meningkatkan kapasiti untuk mengendalikan cabaran sedia ada dan bakal muncul, dan pada masa sama mengekalkan kepusatan ASEAN.
- Berwawasan dan menjadi pemain global.
- Melaksanakan agenda ASEAN dan pada masa sama memperjuangkan aspirasi nasional yang menyumbang kepada pembinaan Komuniti ASEAN.
- Memperkukuhkan Organ-Organ ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Pegawai itu menambah, elemen utama Dokumen ASEAN 2025 terdiri daripada pelan tindakan dan langkah strategik spesifik untuk merealisasikan sasaran yang dikenal pasti.
"Aspirasi utama dokumen ini termasuk semua tiga teras ASEAN iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosiobudaya," katanya.
Elemen utama Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN 2025:
- ASEAN berasaskan peraturan, berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat di rantau yang aman, stabil dan makmur.
- Komuniti ASEAN yang bersatu.
- Komuniti dinamik, berdaya tahan dan harmoni yang dapat respons secara efektif terhadap kelemahan sosial dan ekonomi dan ancaman keselamatan bukan tradisional yang lain.
- Komuniti yang mampu respons secara efektif terhadap cabaran yang menjejaskan ASEAN dari dalam dan luar rantau.
- Komuniti yang berpendirian teguh dalam mengekalkan kepusatan ASEAN menerusi mekanisme serantau.
#ASEAN #dokumen ASEAN #Pelan Tindakan
;