Doktor wanita rugi RM100,000 ditipu 'scammer'
Sinar Harian
Jun 18, 2023 17:33 MYT
Jun 18, 2023 17:33 MYT
KUANTAN: Seorang doktor wanita berputih mata apabila kerugian RM100,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, wanita berusia 28 tahun itu dihubungi 'pegawai' LHDN memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa selanjutnya dirujuk kepada seorang pegawai polis melalui sambungan talian telefon dan hasil semakan, dia kononnya tersenarai sebagai individu dikehendaki yang bakal disenaraihitamkan.
"Mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu dan menyerahkan nombor kad bank dan nombor pin kepada suspek.
"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat bayaran RM100,000 bagi tujuan pembayaran proses pelepasan senarai hitam.
"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa yang panik akur dan menuruti semua arahan suspek," katanya.
Yahaya berkata, suspek turut mengarahkan mangsa merakam gambar 'selfie' dan menghantar kepadanya setiap dua jam sehingga proses selesai.
"Setelah bayaran dibuat, mangsa menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis di sebuah balai di Temerloh," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah berkongsi maklumat peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya terutama kepada individu tidak dikenali atau meragukan.
"Buat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui Check Scammers CCID atau melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi atas talian," ujarnya. - Sinar Harian