Doktor wanita ditemukan tidak sedarkan diri di bilik hotel

Bernama
Mei 21, 2022 22:59 MYT
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, seorang pekerja hotel menemukan mangsa terbaring di atas katil dalam bilik hotel tersebut. - Gambar fail
SEREMBAN: Seorang doktor wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Pasir Panjang, Port Dickson dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, seorang pekerja hotel menemukan mangsa terbaring di atas katil dalam bilik hotel tersebut.
"Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada pukul 2.56 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian selain menerusi semakan dari pihak hotel, mangsa telah mendaftar seorang diri di hotel berkenaan pada 19 Mei lepas, katanya.
Aidi Sham berkata mangsa yang berusia 37 tahun itu masih bujang dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson pada pukul 10 pagi tadi dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR)," katanya.
-- BERNAMA
#doktor wanita #tidak sedarkan diri #bilik hotel #Pasir Panjang #Port Dickson
;