Doktor pelatih maut: Polis rekod keterangan ahli keluarga dan teman wanita hari ini
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 11, 2022 18:11 MYT
Mei 11, 2022 18:11 MYT
GEORGE TOWN: Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga serta teman wanita kepada doktor pelatih yang maut selepas terjatuh di kediamannya di Datuk Keramat, George Town pada 17 April lepas bagi membantu siasatan kes tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan ketika dihubungi berkata, keterangan ahli keluarga iaitu bapa dan abang mangsa akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut petang ini, manakala keterangan kekasih mangsa pula akan dirakam di Nilai, Negeri Sembilan.
“Pihak keluarga berjanji akan memberi keterangan hari ini, di sini, dan keterangan kekasihnya pula akan di buat di Nilai kerana dia berada di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Saravanan berkata, polis kini dalam usaha melengkapkan siasatan kes berkenaan bagi mengetahui punca kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu untuk tindakan lanjut.
“Pihak kita masih lagi menunggu keputusan hasil bedah siasat kes tersebut dan akan melengkapkan siasatan selepas semua proses merakam percakapan semua pihak yang terlibat selesai,” katanya lagi.
Saravanan berkata, sebelum ini, pihak polis telah merakamkan keterangan doktor dan rakan serumah doktor pelatih berusia 25 tahun itu.
Setakat ini polis masih mengklasifikasikan kematian doktor pelatih berkenaan sebagai kematian mengejut.
Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di Jalan Datuk Keramat , George Town.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin, mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Susulan kes berkenaan, KKM menubuhkan ‘taskforce’ bebas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu dan pasukan bertindak itu juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.