Doktor pakar didakwa elak cukai lebih RM700,000
Bernama
Februari 22, 2017 16:04 MYT
Februari 22, 2017 16:04 MYT
Seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan swasta didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mengelak membayar cukai pendapatan berjumlah lebih RM700,000.
Dr Ahmad Nizar Jamaluddin, 56, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar.
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat oleh Rudy Kurniawan Usman, sebagai mewakili doktor itu yang tidak dapat hadir ke mahkamah.
Menurut jurubahasa mahkamah, Dr Ahmad Nizar yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), turut mengemukakan surat kuasa kepada mahkamah memaklumkan beliau tidak dapat hadir dan mewakilkan Rudy Kurniawan pada prosiding hari ini.
Menurut pertuduhan, doktor itu secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai pendapatan yang sepatutnya dimasukkan dalam Borang Nyata (Borang BE) Tahun Taksiran 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 yang menyebabkan cukai terkurang sebanyak RM729,968.25.
Beliau sepatutnya membayar cukai berjumlah RM66,414. 60 bagi tahun 2007, RM123,326.82 (tahun 2008), RM120,017.43 (2009), RM104,760.76 (2010), RM97,583.72 (2011), RM89,545.30 (2012) dan RM128,319.62 (2013).
Jumlah keseluruhan pendapatan yang terlibat adalah RM2.763 juta.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 114 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda daripada cukai terkurang bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan peguam kanan LHDN Norzilah Abdul Hamid.
Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes. -- Bernama