Doktor maut motosikal bergesel dengan kereta
Aida Aziz
Januari 3, 2020 05:32 MYT
Januari 3, 2020 05:32 MYT
Seorang doktor maut setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 13.6 Jalan Taiping-Kuala Sepetang pada tengah hari Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, mangsa dikenali Abdul Mukmin Abdul Manan, 29, bekerja sebagai doktor, beralamat dari Batu Gajah mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan itu.
"Kenderaan yang terlibat ialah kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu oleh Mahayudin Mat Yusof, 77, beralamat Kampung Pinang, Kamunting dan motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh mangsa (Abdul Mukmin).
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Nissan Sentra dan motosikal datang dari arah Taiping menghala ke Simpang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, ketika pemandu Nissan Sentra ingin membelok masuk ke simpang kiri, datang mangsa yang menaiki motosikal dari arah belakang telah terlanggar bahagian kiri tengah kereta itu.
"Akibat kemalangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping dan disahkan meninggal dunia di wad ICU pada pukul 8.22 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya lagi, kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan teruk pada motosikal mangsa termasuk lampu besar depan pecah, pemijak kaki belakang kiri patah dan cermin sisi kiri dan kanan pecah.
Pemandu Nissan Sentra pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bedah siasat dijalankan pada jam 11 malam tadi untuk mengetahui sebab kematian mangsa.
Katanya, siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Abdul Mukmin Abdul Manan
#doktor maut kemalangan
#Hospital Taiping
#Mahayudin Mat Yusof
#motosikal bergesel kereta
#Polis Daerah Taiping