Doktor masuk tiub dari paha, ikut jantung dan terus ke mata Adib - Jaswan

Wan Syamsul Amly
Disember 18, 2014 20:49 MYT
JASWAN: Doktor masuk tiub dari paha, ikut jantung dan terus ke mata Adib - Gambar fail
Kanak-kanak pesakit kanser mata, Mohammad Adib Azim Jaswan akan memulakan prosedur memasukkan tiub yang membawa bersama ubat kimoterapi dari paha melalui jantung hingga ke mata pada Jumaat.
Bapanya, Jaswan Mulop menjelaskan, prosedur itu sebenarnya bukan kali pertama diadakan malah susulan kegagalan daripada yang pertama kali dibuat pada Rabu 17 Disember lepas.
"Semalam doktor tidak boleh buat kerana ketiadaan salur darah ke mata. Doktor kata tidak boleh hendak terus 'cucuk'.
"Prosedur kali ini agak panjang kerana akan mengggunakan salur mata yang terlalu kecil untuk memastikan ubat sampai terus ke tempat kanser memandangkan salur mata utama disahkan tiada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Adib akan menjalani rawatan memasukkan tiub dari paha, melalui jantung dan terus ke mata untuk merawat kanser pada Jumaat di HKL - Gambar Jaswan
Pada Oktober, Astro AWANI menyiarkan rintihan Jaswan dan isterinya yang terpaksa berkorban segala-galanya untuk anaknya yang dikesan mengidap kanser mata seawal usia tiga tahun.
Mata kanan Mohammad Adib juga terpaksa dibuang tahun lepas akibat kanser yang sudah memasuki tahap D.
Jaswan merupakan seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Putrajaya memberitahu, mata kiri Adib kini pula sudah semakin teruk dan memerlukan rawatan insentif untuk menyelamatkannya daripada dibuang.
Dalam pada itu jelasnya, doktor memberitahunya supaya menerima rayuan mereka untuk membolehkan prosedur dicuba sekali lagi selepas sekali gagal.
"Jika ubat dapat dimasukkan pada salur mata kecil, besar harapan kanser dapat bertindak balas dan mengecut dengan baik," ujarnya.
Tambahnya, teknologi baru itu dimaklumkan masih baru di negara ini dan Adib merupakan pesakit ketiga yang menggunakannya.
"Tiga kes sebelum ini berjaya dan ia akan dicuba sekali lagi pada Adib.
"Jika tidak berjaya, doktor menyarankan Adib dibawa ke Amerika Syarikat (AS) untuk pembedahan...dan ia sekali gus pasti memerlukan kos yang terlalu tinggi," katanya.
Jaswan dalam pada itu mengakui terpaksa menanggung kos rawatan tinggi untuk beberapa rawatan alternatif selain rawatan di Hospital Kuala Lumpur sendiri.
"Isteri saya juga tidak bekerja," jelasnya.
Katanya, orang ramai yang sudi menghulur bantuan boleh terus menyalurkannya pada akaun Maybank miliknya yang bernombor 164016057705.
"Saya berharap doa semua untuk memastikan prosedur rawatan esok memberi harapan kepada kami sekeluarga," jelasnya mengakhiri perbualan.
#Adib #AS #darah #HKL #jantung #jaswan #kanser #laser #MATA
;