Doktor Malaysia antara 17 warga global dipilih sebagai pemimpin muda PBB

Bernama
September 20, 2016 07:37 MYT
Acara tahunan itu yang diadakan semasa minggu Perhimpunan Agung PBB merupakan persidangan dua hari yang diadakan di ibu pejabat PBB untuk mengkaji impak teknologi dan media baharu ke atas inisiatif sosial murni di seluruh dunia. - fotoBERNAMA
Warga Malaysia yang berbakat terus melakar kecemerlangan di hall of fame antarabangsa selepas Mohd Lutfi Fadil Lokman dipilih oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk menyertai 16 warga global yang lain sebagai pemimpin muda PBB bagi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).
Doktor perubatan berusia 29 tahun dari Gombak, Selangor itu dipilih dari kalangan 18,000 pencalonan dari 186 negara berdasarkan inisiatif beliau, Hospital Merentasi Sempadan (HBB) dan selepas penilaian menyeluruh oleh sebuah jawatankuasa pemilihan peringkat tinggi, terdiri daripada wakil dari kerajaan, PBB, masyarakat sivil dan sektor swasta.
"Saya berasa sangat bertuah dan bangga dengan pemilihan ini dan saya masih terkejut dengan penghormatan ini apabila dimaklumkan (mengenai pemilihan) saya sebulan yang lalu.
"Tetapi pada masa yang sama, saya sedar bahawa dipilih oleh PBB juga bermakna saya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk melaksanakan 17 SDG.
"Saya menaruh harapan untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan, badan-badan PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi memastikan semua SDGs ini tercapai," katanya ketika dihubungi Bernama selepas perasmian Social Good Summit 2016 di New York, malam Isnin.
Acara tahunan itu yang diadakan semasa minggu Perhimpunan Agung PBB (UNGA) merupakan persidangan dua hari untuk mengkaji impak teknologi dan media baharu ke atas inisiatif sosial murni di seluruh dunia.
Pada 1 Januari tahun ini, 17 SDGs daripada Agenda Pembangunan Lestari 2030, yang diterima pakai oleh pemimpin dunia pada September 2015 pada Sidang Kemuncak PBB yang bersejarah, berkuatkuasa secara rasmi.
Mohd Lutfi Fadil yang berkongsi impian untuk menubuhkan sebuah persatuan sukarela yang memberi tumpuan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang mapan dalam komuniti, berkata usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Mercy Malaysia, Doctors Without Borders dan NGO yang lain sentiasa memberi inspirasi kepadanya.
"Ia bermula ketika saya sebagai pelajar perubatan semester empat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan dimasukkan ke hospital kerana kecederaan serius di kepala.
"Cecair otak mengalir keluar dari salah satu telinga dan gendang telinga saya rosak, menjejaskan keseimbangan dan keupayaan untuk berjalan.
"Saya berjanji jika Tuhan menyembuhkan keadaan saya, saya akan meneruskan impian dan usaha untuk membantu masyarakat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mapan.
"Saya bersyukur kerana doa saya dikabulkan Tuhan dan pada 2012, HBB diwujudkan dan diasaskan bersama oleh sahabat saya, Dr. Wan Abdul Hannan," katanya.
Menurut Mohd Lutfi, banyak NGO yang berusaha dalam sektor penjagaan kesihatan dan kemanusiaan tetapi kebanyakannya tidak berkekalan.
Idea HBB ialah untuk membina klinik dan hospital yang mampu menampung dan memperkasakan komuniti di kawasan itu untuk menjalankan kerja-kerja sosial.
Doktor kelahiran Gombak itu berkata usaha pertubuhan sukarela itu bermula dengan memberi perkhidmatan perubatan dan khidmat nasihat kepada masyarakat luar bandar melalui klinik bergerak.
"Tetapi pada Jun 2015, kami telah menubuhkan sebuah klinik di Kemboja, dengan memberi tumpuan untuk membantu masyarakat Islam, orang Cham.
"Kami merekrut dua doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan Kemboja untuk berkhidmat sepenuh masa dengan HBB," katanya.
Pada masa yang sama, kata Mohd Lutfi, dengan menggunakan kepakaran perubatan, mereka melatih komuniti tempatan di sana untuk bekerja sebagai pekerja kesihatan atau pembantu perubatan sementara tugas mereka adalah untuk menemui masyarakat dan memberi bantuan perubatan.
Beliau berkata, HBB akan menghantar beberapa doktor perubatan dari Malaysia ke Kemboja untuk menganjurkan latihan untuk doktor di sana, terutama tentang cara menggunakan peralatan hospital.
Selain dua doktor sepenuh masa, terdapat dua orang jururawat sepenuh masa dan seorang juruteknik makmal yang mengendalikan klinik HBB di Kemboja.
Ketika ditanya mengenai rancangannya akan datang, Mohd Lutfi Fadil teruja untuk berkongsi berita mengenai pembukaan hospital bersalin HBB di Kemboja, yang dijangka beroperasi menjelang Januari depan selepas siap pada Ogos tahun ini.
"Kami menggunakan keuntungan yang dijana dari klinik untuk memberi subsidi bagi rawatan kepada pesakit kurang berkemampuan dan membina lebih banyak kemudahan perubatan.
"Contoh kemudahan perubatan yang kami bina ialah hospital bersalin yang dijangka beroperasi pada Januari 2017. Sekali lagi, matlamat kami ialah untuk merealisasikannya di negara itu melalui pemindahan ilmu antara Malaysia dan Kemboja," katanya.
Menurut beliau, jurang perbezaan ekonomi adalah besar di Kemboja dan ini boleh dilihat dalam ketersediaan peralatan hospital atau jentera yang hanya dterdapat di hospital-hospital utama di bandar tetapi tidak ada di kawasan yang didiami oleh komuniti miskin.
"Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kemboja dan NGO tempatan di negara itu. Kerajaan (Kemboja) menyokong misi kami kerana negara itu amat miskin dan mereka tidak dapat menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua komuniti.
"Saya suka melakukannya. Ia menjadikan saya dan pasukan saya menghargai perbezaan antara kedua-dua negara dan ia membantu untuk menimba ilmu yang lebih luas dalam perspektif perubatan," katanya.
Dan nasihatnya kepada golongan belia Malaysia ialah: Jika anda mempunyai impian atau sesuatu yang membara dalam hati, lakukannya semasa anda masih muda. Kerana permulaan adalah paling sukar. Jadi, jika anda mempunyai apa-apa impian, lakukannya. -- BERNAMA
#doktor malaysia #Hospital Merentasi Sempadan #Lutfi Fadil Lokman #Matlamat Pembangunan Mapan #PBB #Pertubuhan Bangsa Bersatu
;