Doktor kontrak tidak menjadi masalah ketika pentadbiran saya, Najib - Tun M

Hasimi Muhamad
Julai 26, 2021 19:03 MYT
Jelas Dr Mahathir, apa yang berlaku kepada doktor kontrak ketika ini adalah sesuatu yang sangat tidak adil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, isu melibatkan doktor kontrak tidak menjadi satu masalah ketika negara berada di bawah pentadbirannya.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, isu tersebut mula dibangkitkan selepas doktor kontrak dibiarkan terlalu lama dalam jawatan tersebut.
Menurut Dr Mahathir, apa yang berlaku kepada doktor kontrak ketika ini adalah sesuatu yang sangat tidak adil.
"(Lantikan) doktor kontrak adalah perkara biasa pada satu-satu tempoh. Kita mempunyai doktor kontrak tetapi selepas beberapa tempoh masa, mereka sepatutnya diberikan jawatan tetap.
"Ini bukan masalah ketika pentadbiran saya atau (Datuk Seri) Najib. Sekarang, ia menjadi masalah kerana mereka telah dibiarkan untuk sekian lama," katanya dalam sidang media secara maya, pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di hospital-hospital bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara hari ini.
Jelas Dr Mahathir, kerajan sepatutnya mempertimbangkan jawatan tetap kepada kumpulan tersebut selepas beberapa tempoh tertentu.
"Mereka melakukan semua tugas seperti doktor biasa (tetap) tetapi mereka tidak diberikan layanan (dianggap) sebagai pegawai perubatan.
"Saya rasa mogok doktor adalah sesuatu yang tidak dialukan khususnya ketika ini apabila kita memerlukan perkhidmatan doktor berikutan pandemik," kata Dr Mahathir lagi.
Hartal Doktor | Kami tidak takut - Doktor kontrak
Pada pukul 11 pagi tadi, sejumlah pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri mengadakan mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja
.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat dilapor berkata, KKM bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.
Beliau berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan pelan jangka panjang.
Sementara, pada Ahad pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya doktor kontrak tidak meneruskan mogok berkenaan.
Dr Noor Hisham meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.
Beliau mengakui faham dengan tuntutan mereka yang mahu berkhidmat secara tetap, namun berharap mereka menerima terlebih dahulu lanjutan kontrak dua tahun yang diumumkan kerajaan.
Katanya, lanjutan itu bagi memberi tempoh kepada pindaan dilaksanakan terhadap Akta Pencen 1980, supaya jawatan tetap boleh digajikan dengan pilihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa pencen.
Sementara menunggu pindaan itu, katanya, kerajaan akan membenarkan petugas kontrak untuk menyambung pengajian sarjana, dan menawarkan jawatan tetap dengan pilihan KWSP, apabila tersedia nanti.
#Kementerian Kesihatan #Mahathir Mohamad #Najib Razak #hartal doktor kontrak #Doktor Kontrak #PKP 3 0 #COVID-19 #MCO 3 0
;