Doktor kontrak tidak akan hadir bertugas jika kerajaan gagal beri penjelasan
Hilmi Malik
Julai 1, 2021 16:08 MYT
Julai 1, 2021 16:08 MYT
KUALA LUMPUR : Gerakan Hartal Doktor Kontrak beri tempoh sehingga tiga minggu untuk kerajaan menyelesaikan kemelut kedudukan doktor kontrak sebelum pihak tersebut meneruskan mogok tidak hadir bekerja mulai 26 Julai ini.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal A Aziz berkata, tempoh lima tahun sudah terlalu lama diberikan kepada kerajaan untuk meneliti dan berbincang, namun, sehingga kini masih belum ada penyelesaian.
“Kita bagi mereka (kerajaan) tempoh tiga minggu untuk selesaikan kemelut, jika tidak kami akan teruskan mogok untuk tidak hadir bekerja sebagai simbolik solidariti kepada doktor kontrak.
“Saya rasa sudah cukuplah kami bertahan, ini masa untuk kerajaan bincangkan pelan jangka masa panjang dan pendek terhadap nasib doktor kontrak,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.
Menurut Dr Mustapha Kamal, kerajaan sehingga kini juga masih belum tampil dengan sebarang kata putus berhubung kedudukan doktor kontrak yang mencetus kebimbangan terutamanya terhadap masa depan dan nasib mereka.
Mengulas mengenai langkah mogok tidak hadir bertugas, Dr Mustapha Kamal berkata, itu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan terhadap memorandum yang telah dihantar.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memohon agar doktor kontrak bersabar sebelum perkara berkenaan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.
Sementara itu, sumber Astro AWANI memaklumkan, golongan doktor kontrak kerajaan turut menerima ugutan sekiranya terlalu lantang bersuara mengenai isu berkenaan malah turut berdepan surat amaran.
Namun realitinya, kedudukan doktor kontrak mencetuskan kebimbangan mereka khususnya terhadap masa depan yang masih menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang jaminan berhubung status kontrak.
Bahkan, kedudukan tersebut mengakibatkan proses untuk melanjutkan pengajian juga menjadi terbatas termasuk tawaran kenaikan pangkat sedangkan tugasan yang dijalankan adalah sama seperti pegawai perubatan tetap.
Sebahagian besar doktor lantikan kontrak menzahirkan kebimbangan dan berpendapat sekiranya situasi tersebut berlarutan ia hanya dilihat sebagai penghalang untuk mewujudkan seramai mungkin pakar pada masa hadapan.