Doktor kontrak: Pasukan petugas khas diharap teliti pindaan Akta Pencen

Khairunnisa Kasnoon
Julai 27, 2021 05:35 MYT
DR NOOR HISHAM: Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam tempoh dua tahun atau kurang, mereka akan diserap ke jawatan tetap di bawah skim KWSP. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas yang diketuai Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat meneliti pindaan terhadap Akta Pencen 1980.
Ia bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberi kepada 23,000 doktor ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian menerusi Twitter beliau malam tadi selepas ciapan beliau pada Julai 2019 disebut di Parlimen terdahulu semalam.
"Saya percaya semua Ahli Parlimen akan menyokong perkara ini dengan sepenuh hati seperti yang dapat disaksikan hari ini.
"Sementara menunggu pindaan itu, semua petugas kontrak masih boleh meneruskan pengajian mereka di peringkat Sarjana.
"Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam tempoh dua tahun atau kurang, mereka akan diserap ke jawatan tetap di bawah skim KWSP," katanya.
Pada 17 Julai 2019, Dr Noor Hisham menulis di Twitter seruan bagi meningkatkan sistem penjagaan kesihatan dan menangani isu kebajikan doktor dan petugas kesihatan.
Katanya, masalah tersebut telah dihadapi para petugas kesihatan sejak sekian lama.
Beliau menambah di Twitter malam tadi, dalam usaha untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan dan kesejahteraan petugas perubatan, beliau lebih senang sekiranya penyelesaian dibuat melalui rundingan.
"Ketika berjuang untuk mendapatkan persekitaran kerja dan masa depan yang lebih baik untuk petugas kontrak, kita mungkin menderita dan terluka.
"Saya lebih suka memilih penyelesaian baik melalui rundingan dengan pelbagai pihak berbanding mengadakan demonstrasi pada waktu-waktu yang sukar dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.

Today one of my old tweet in July 2019 was mentioned in the Parliament. A call to improve the Health Care System & address the welfare of our doctors & healthcare workers. It is certainly a perennial problem that we have been suffering for quite some time. pic.twitter.com/sCIFyXHux2

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) July 27, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Isnin, terdapat sebilangan doktor yang menyertai mogok umum atau hartal susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu doktor kontrak ketika ini.
Terdahulu di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana doktor atau pegawai kesihatan kontrak yang menyertai demonstrasi aman tersebut.
Katanya, mereka berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
#KKM #KWSP #Dewan Rakyat #Noor Hisham Abdullah #Parlimen #MMA #petugas kesihatan #perintah kawalan pergerakan #lanjutan kontrak #Akta Pencen #pindaan #pengajian #sistem penjagaan kesihatan #kebajikan #Doktor Kontrak #rundingan #hartal #jawatan tetap
;